Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pachara Enggan Kembali Ke Pangkuan Afiq Muiz - “Emak Saya Kata Kalau Saya Kembali Pada Afiq Saya Seperti Menunggu Mati Saja”

Izwan Isa
15/06/2023 11:20 MYT
Isteri kepada pelakon Afiq Muiz, iaitu Nur Aaira Mahadeya atau Pachara, menafikan dakwaan suaminya yang menuduh dia menjalinkan hubungan dengan lelaki dalam tempoh perkahwinan mereka.

Pachara yang ditemui selepas prosiding sebutan semula permohonan tuntutan cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, Shah Alam, petang tadi menyangkal sama sekali dakwaan berkenaan.

“Saya rasa nak gelak bila dengar tuntutan ini. Tapi saya memang terkejut juga sebab kalau kata kawan perempuan dan kawan lelaki, saya memang ada banyak.

BACA: "Kalau Benci Sangat, Lepaskan Saja" - Isteri Dakwa Afiq Muiz Sengaja Lengahkan Cerai

“Saya sudah terangkan di mahkamah tadi dan dakwaan dia salah. Namun, peguam saya minta untuk tidak ulas,” katanya.

Sewaktu ditanya sama ada dia mahu menyelesaikan polemik rumah tangga secara baik, Pachara memohon supaya Afiq melepaskan dirinya secara baik supaya dia boleh meneruskan hidupnya.

“Andai kata kalau saya maafkan dia dan kembali padanya, seperti saya bunuh diri sendiri. Emak saya kata kalau saya kembali pada Afiq saya seperti menunggu mati saja.

“Saya pernah kena cekik, dipukul dan sebagainya tapi semua kata saya tipu. Saya bukan budak sekolah darjah enam. Disebabkan itu saya harap dia boleh melepaskan saya secara baik, supaya saya boleh teruskan hidup. Saya mahu selesaikan semuanya.

“Nak kembali kepadanya itu minta jauh, itu bunuh diri, bodoh dan tak sedar diri. Saya sudah berubat di beberapa tempat. Memang sakit teruk bertahun-tahun. Jadi apa yang saya nak adalah saya kembali pulih, fokus bekerja dan bina hidup baru. Saya tak mahu ada kena mengena dengan dia lagi.

“Afiq teruskanlah hidup dan cari wanita lain. Saya boleh sedekah doa padanya supaya dia berubah dan jangan buat isterinya begini kalau mahu kahwin lagi,” katanya yang turut mengakui trauma dengan suaminya.

Terdahulu berlangsung prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh oleh Pachara di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, Shah Alam.

Prosiding pada hari ini membabitkan keterangan daripada Pachara. Ia akan bersambung pada 13 Julai depan di mahkamah sama.

Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum Syarak.

Pachara difahamkan memfailkan permohonan fasakh terhadap Afiq pada Oktober tahun lalu.

Selain itu, Pachara turut membuat laporan polis pada 14 Mei 2021 lalu atas dakwaan Afiq menampar bahagian mukanya sebanyak lima kali, selain menendang perut dan menumbuk bahagian dagu sebanyak dua kali.

Pada November tahun lalu, media melaporkan Afiq membuat laporan polis berhubung dakwaan isterinya yang dianggap fitnah.

BACA: "Bohong Je Kerja, Aku Malas Nak Cari Jantan-Jantan Yang Kau Scam" - Afiq Muiz Dedah Mesej Curang Isteri

Afiq dilapor menyerahkan kepada peguam untuk tindakan susulan berhubung tuduhan kaki pukul dilemparkan wanita terbabit.

Sebelum ini, Pachara yang berasal dari Ranau, Sabah memuat naik kenyataan dalam Facebook (FB) dan TikTok mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki dan jarinya patah.

Kenyataan itu mendapat komen balas adik Afiq, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam media.

Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di lokasi penggambaran drama Air Mata Syurga.

;