Penyanyi rap yang popular dengan loghat Negeri Sembilan Waris tetap mengutamakan bidang nyanyian walaupun kini bergelar seorang pelakon.

Waris atau nama sebenar Muzzammil Alias, berkata, nyanyian merupakan minatnya sejak dulu lagi dan mengakui tidak berminat bergelar seorang pelakon.

"Pada mulanya saya tak nak berlakon tapi apabila penerbit dah pelawa, saya pun mencuba.

"Saya memang tak minat berlakon sebenarnya sebab lebih suka buat-buat kerja studio dan menghasilkan muzik.

"Tetapi kali ini saya terima tawaran berlakon filem ini sebab ia tentang negeri kelahiran saya yang terkenal adat istiadat dan pelbagai dialek.

"Untuk filem ini juga saya perlu belajar loghat orang Pilah, sebabnya walaupun saya orang Rembau tapi loghat Pilah lebih pekat dari orang Rembau," katanya kepada Astro Gempak.

Waris berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem This Is Pilah: The Movie, di Restoran Q-Thai Village, Ampang baru-baru ini.

This Is Pilah bakal menemui penonton di pawagam pada 21 Jun ini.

Filem yang diarahkan Rosdi Md Dali turut dibintangi Juzzthin, Iesna Raus, Kazar dan Ebby Yus.

Filem ini turut menampilkan penampilan khas bekas ahli parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hassan Malek, Ito Blues Gang dan Ustaz Syamsul Debat.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram