Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Padah Ciap Status Palsu Kompaun Raya ‘Tuan Rumah RM25K, Tetamu RM5K', Gajet Pemilik Akaun Twitter Dirampas!

Awani 17/05/2021 | 05:50 MYT
Pemilik akaun Twitter 'No War But Class War’ yang menciap status mengenai berita palsu kompaun raya di Nilai Impian, telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk memberi keterangan pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata keterangan suspek yang berusia 42 tahun itu telah diambil untuk tindakan lanjut siasatan.
Katanya, turut dirampas adalah gajet milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik status di media sosialnya pada 13 Mei lalu.
"Keterangan suspek telah diambil dan siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang menyebabkan kegentaran awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (no.2) 2021 kerana menyebarkan berita tidak benar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Tambahnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.
Suspek yang merupakan seorang pengurus syarikat penerbitan buku di Bandar Baru Bangi, kini dilepaskan dengan ikat jamin polis.
Pada Khamis lalu, tular gambar di Twitter yang memaparkan pemilik akaun ‘No War But Class War’ menaik status ‘Area Rumah Aku Nilai Impian. Tuan Rumah RM25K, Tetamu RM5K.
Polis kemudiannya menafikan penularan gambar yang tular di media sosial itu berhubung pelaksanaan operasi pihak polis yang mengenakan kompaun sebanyak RM30,000 kepada orang awam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021.
Gambar tersebut sebaliknya merupakan gambar pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya pertama Aidilfitri di kawasan perumahan di Nilai Impian, Nilai.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan di laman sosial bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
#Viral #Polis #Kompaun #Siasat #Twit Palsu
;