Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Padi Reborn 25 Years Begitu Indah, Duet Dengan Sheila Majid Bikin Heboh

Maliah Surip
04/12/2022 15:35 MYT
Padi Reborn sedang merayakan ulang tahun ke-25 penubuhan kugiran mereka.

Dalam kembara 25 tahun ini, Padi Reborn sebelum ini menggunakan nama Padi dengan dianggotai oleh Piyu, Rindra, Ari, Fadly dan Yoyo.

Nama kugiran yang pertama kali masuk dalam belantika muzik Indonesia pada 1997, sebelum meledak dengan debut, Lain Dunia pada 1999 kemudian bertukar menjadi Padi Reborn selepas mereka ‘diam’ selama tujuh tahun.

Hanya pada 2018, kelima lima pemuzik ini bergabung dan meneruskan kerja seni mereka dengan pengenalan baharu, Padi Reborn.

Mengusung nama baharu dengan mimpi baharu, karier mereka berjalan semula - hampir mulus sebelum pandemik Covid 19 melanda dunia.

“Kami harus berpuasa sebentar, namun Alhamdulillah masih mampu bertahan sehingga syukur tiada yang mengalami masalah ekonomi dan kami juga tidak memecat tim dari pengurusan. Terima kasih untuk Pak Albert yang selama ini sabar menguruskan Padi Reborn,” ujar Piyu dalam pertemuan dua hari sebelum konsert Padi Reborn 25 Years berlangsung.

Lantas kehadiran Padi Reborn setelah pandemik dan kembali untuk merayakan sepak terajang 25 tahun perjuangan disambut penuh antusias oleh lebih 2,000 penonton di Zepp Kuala Lumpur malam 4 Disember lalu.

Kematangan permainan dan mengemudi konsert dengan cukup sederhana tapi mengesankan membuat peminat pulang dengan segudang memori yang cukup untuk disimpan dan dibicarakan kepada generasi akan datang betapa hebatnya sebuah kugiran bernama Padi Reborn.

Saat kugiran asal Surabaya yang menjual album keduanya, Sesuatu Yang Tertunda dengan 1.6 juta unit ini memainkan muzik mereka di atas panggung, antusias dan kerinduan peminat terus membuak.

Apa lagi saat Fadly sang vokalis yang meski menyanyi tapi seperti sedang berbicara sopan sambil tersenyum melantunkan vokalnya untuk tembang hit mereka seperti Bayangkanlah, Menanti Sebuah Jawaban, Mahadewi, Ternyata Cinta dan Perjalanan Ini, gerombolan SobatPadi sudah menjadi ‘liar’ menikmati muzik yang sekian lama membuat mereka kecanduan.



Di posisi dram, Yoyo kental mengetuk ritma tanpa pincang, Ari dan Rindra yang sekilas tidak kelihatan seperti pemain bass dan gitar, kecuali seperti ‘bapak bapak’, tenang dengan skil yang sudah sebati sementara Piyu, sang gitaris yang juga banyak menghasilkan hit Padi Reborn tidak mengecewakan dengan setiap petikan dan aksinya.



Panggung menjadi lebih heboh apabila ‘lagu kebangsaan’ Padi Reborn, Kasih Tak Sampai didendangkan secara duet bersama legenda kita, Datuk Sheila Majid.

Satu paduan suara yang mengasyikkan meski berlainan genre dan dari Kasih Tak Sampai, mereka kemudian mendendangkan lagu fenomena Sheila, Antara Anyer Dan Jakarta dan Warna.

“Berada di pentas bersama Sheila Majid adalah sebuah penghormatan apalagi kami adalah peminat beliau,” kata Padi Reborn.



Tidak hanya meminati Sheila Majid, Padi Reborn tanpa segan mengaku mengagumi kumpulan Exists sebelum melantunkan sedikit lagu Alasanmu dan memberi penghormatan kepada Search dengan berusaha keras menyanyi dalam key asal Datuk Amy Search lewat hit Isabella.

Konsert ulang tahun penuh makna, jubli perak yang disifatkan terbaik dan ‘gila’ pernah dirayakan mereka di Malaysia ini juga menyaksikan Pari Reborn memainkan lagu yang jarang dialunkan dalam konsert lain seperti Jangan Datang Malam Ini yang diambil dari album Tak Hanya Diam.

Lagu Seperti Kekasihku yang dipersembahkan dalam segmen akustik tentu juga membikin histeria kerana ia menjadi salah satu untaian wajib dengar SobatPadi sebelum konsert ditutup dengan Begitu Indah.

Ternyata, Padi Reborn 25 Years yang dibawakan oleh Qew Comm memang meninggalkan sejuta kenangan yang terlalu indah.



Filossofi yang diambil dari Padi iaitu semakin tinggi makin membumi serta pesan pesan damai dan komunikasi yang dijalin menjadi untaian lagu dan gubahan muzik dengan signitur mereka sangat membekas.

Terima kasih Padi Reborn kerana telah mengembalikan kenangan tentang betapa sebuah kugiran tidak perlu terlalu terdesak menjual diri di pasaran lewat hal hal menjengkelkan, tetapi dengan untaian lagu dari muzik berkualiti, mereka akan terus disanjung dan didambakan.

“Semoga kami bisa bersama terus untuk merayakan Padi Reborn pada usia 25 tahun ke depan,” doa Fadly.

#Konsert #Indonesia #Sheila Majid #Review #Padi