Kugiran popular dari Indonesia, Padi bakal berkongsi pentas dengan Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid yang dijemput sebagai penyanyi jemputan menerusi Konsert 25 Tahun Padi Reborn pada 3 Disember depan.

Piyu yang merupakan pengasas serta pemain gitar Padi Reborn berkata, pemilihan Sheila dilihat bersesuaian dengan taraf legenda yang diberikan kepada penyanyi lagu Sinaran itu.

"Kami juga peminat Sheila dan dia merupakan penyanyi legenda Malaysia. Tambahan pula, persembahan ini nanti adalah sesuatu yang baru buat kami juga.

“Jika diimbas kembali, kami pun pernah berkolaborasi bersama pada 2005 menerusi lagu Antara Anyer Dan Jakarta di Indonesia. Ketika itu untuk persembahan tertutup sahaja. Selepas itu kami sekali lagi bekerjasama pada 2018 pada acara sambutan tahun baru di sebuah stesen TV di Indonesia.

"Insya-Allah, kami akan menyampaikan lagu hits Sheila dan bersama-sama menyanyikan lagu Padi Reborn pada konsert ini nanti. Lagu apa yang bakal kami persembahkan, biarlah jadi kejutan. Mudah-mudahan kami dapat memberikan yang terbaik," katanya.

Padi Reborn yang dianggotai oleh Piyu, Fadly (penyanyi), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) ditemui pada sesi temu bual secara virtual baru-baru ini sempena Padi Reborn 25 Tahun Live in Kuala Lumpur.

Sementara itu, bagi Sheila Majid, dia berbesar hati dan terharu dijemput bagi menjayakan konsert itu.

"Saya rasa berbesar hati dan terharu dijemput sebagai penyanyi undangan oleh pihak Padi Reborn dan penganjur, Qew Comm untuk sama-sama meraikan ulang tahun ke-25 mereka pada Konsert Padi Reborn 25 Years Live In Kuala Lumpur.

"Seingat saya, kami belum pernah berkolaborasi dalam mana-mana konsert atau persembahan namun pernah berkongsi pentas yang sama dalam sebuah acara tahun baru di Yogyakarta pada 2018.

"Saya berharap peminat akan dapat datang dan sama-sama menyaksikan kerjasama perdana kami dalam konsert ini. Mengenai lagu, perlu tunggu dan lihat kerana ini juga elemen kejutan buat peminat. Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan," katanya.

Pengarah Qew Comm, Datin Rahizahwati Yahya selaku penganjur pula berkata, tiket konsert berkenaan sudah lebih separuh terjual.

"Alhamdulillah, jualan tiket dah lebih separuh terjual. Kami mengharapkan sehingga konsert ini berjalan, penjualan akan lebih banyak. Sebenarnya, untuk sambutan berpecah ke konsert lain, kami percaya konsert ini ada sesuatu yang istimewa," katanya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!