Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Padu! Berkat Resipi Ibu & Rezeki PKP, Gerai Sasqia Dahuri, Kelate.SG Di Singapura Diserbu

Maliah Surip
24/02/2021 04:20 MYT
Usaha bintang filem Misteri Dilaila, Sasqia Dahuri membuka gerai yang menyediakan masakan Kelantan di Singapura nampaknya membuahkan hasil di luar jangka.

Gerai yang dinamakan Kelate.SG dan terletak di 93, Lorong 4, Toa Payoh itu mula dibuka pada 8 Februari lalu.

Dengan hanya menyediakan tiga menu terkenal dari Negeri Che Siti Wang Kembang iaitu Laksam, Mi Celup dan Colek Malah, Sasqia berjaya menarik ratusan pembeli ke gerainya sehingga terpaksa ditutup tiga jam lebih awal pada hari pembukaannya.

"Pada awalnya saya menerima tempahan sehingga 300, 400 semua saya buat sendiri. Kita stim dia, kita roll dia," kata Sasqia kepada BERNAMA seperti dilihat dari akaun Instagramnya.

Dalam temubual tersebut, wanita berusia 35 tahun itu mengatakan perniagaan yang dijalankan itu dilakukan secara suka suka dan berdasarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah sebelum selepas dia 'tersangkut' di Singapura sejak Mac tahun lalu kerana penutupan sempadan Singapura dan Malaysia.

Namun atas permintaan di luar jangka, suami yang merupakan warga Singapura, Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan dan dua rakannya yang mula menyukai laksam mengesyorkan agar dia melakukannya dengan lebih serius.

A post shared by Sasqia Dahuri (@sasqiadahuri)


Sasqia yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan juga mengatakan kelak Kelate.sg akan menambah satu lagu menu yang terkenal iaitu Nasi Kerabu selain mempertimbangkan beberapa menu lain termasuk Nasi Dagang dan Nasi Berlauk.

Sementara itu, dalam kemas kini di Instagramnya juga, Sasqia dengan bangga mendedikasikan kejayaan gerai tersebut adalah dari ibunya.

"Ini adalah resipi ibu saya," tulisnya dalam satu video yang memperlihatkan gerainya menerima kunjungan pelanggan yang tidak putus putus walau telah seminggu beroperasi.

Selain didatangi oleh pelanggan tempatan, ramai warga Malaysia yang bekerja di Singapura ikut melepaskan rindu menikmati masakan dari Pantai Timur itu di gerainya yang dibuka dari pukul 8 pagi hingga 2 petang itu.




#Singapura #Kelantan #Sasqia Dahuri #COVID 19 #Laksam #Kelate.SG #Resipi Ibu
;