ANTARABANGSA
Padu betul rekaan KD150-U Streetfighter Naked dari China ini!
Pengeluar motosikal China dikenali dengan imej rekaan motosikal biasa, bukannya radikal. Bagaimanapun, label ini tidak sesuai dikenakan pada syarikat Kiden Motorcycles.
Kiden sebenarnya sedang menempah nama dalam industri dua roda di China selepas muncul dengan model KD150-U. Motosikal dengan rekaan garang itu adalah sebuah streetfighter naked 150cc.
Ada yang mengatakan, model ini ada iras-iras seperti model hangat di Indonesia, apa lagi jika bukannya Yamaha Xabre. Mungkin juga seakan-akan produk CFMoto 300NK.

KD150-U mengetengahkan rekaan tajam pada sebahagian besar panel badan dengan pengenaan warna berbeza. Lebih-lebih lagi dengan aplikasi tona biru dan emas. Ekzos motorsikal ini dikatakan ada bayangan daripada jentera lumba Yamaha YZR-M1 pasukan Monster Energy MotoGP.
Pencahayaan motosikal ini datangnya daripada dua lampu jenis projektor pada bahagian kepala. Lampu belakang dan signal pula dipercayai jenis LED.
Konsol instrumen memaparkan meter jenis digital dengan maklumat paras baki bahan api, suhu enjin, jam dan pelbagai lagi.

Berbekalkan enjin berkapasiti 148.8cc dengan khidmat sejukan cecair, rangkaian kuasa ini boleh mengekstrak kuasa sebanyak 17.6PS pada 9,000rpm bersama tork puncak 16Nm pada 7,000rpm. Tangki minyak digunakan adalah seluas 12 liter.
Sistem suspensinya membabitkan fork USD (upside down) dan penyerap hentak mono yang bersambung pada lengan ayun aluminium.
Kedua-dua tayar dipasang brek cakera bersama teknologi sistem brek antikunci pada roda 17 inci.