Siapa sangka, jualan Sambal Nyet yang baru setahun berada di pasaran membolehkan Khairul Amin Kamarulzaman atau Khairul Aming memiliki kilang sendiri.

Khairul Aming menerusi perkongsiannya di laman sosial hari ini turut berkongsi berita gembira, bakal mengeluarkan produk keduanya tidak lama lagi.

Setakat ini, menurut Khairul Aming kilang berkeluasan 14,000 kaki persegi di Kota Bharu, Kelantan itu sedang melalui fasa terakhir renovasi.

“FYI kilang ni belum lagi 100% complete. Kita masih lagi tengah buat finishing macam painting, wiring, labelling etc.

“Sebelum mula renovation kita memang dah in touch dengan MeSTI untuk inspection nanti. And our hope is to get MeSTI and Halal certificate dalam tahun ni,” katanya.

Terdahulu menerusi ciapan di laman Twitter dan hantaran Instagram miliknya, Khairul Aming mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan terhadap produk sulung keluarannya itu.

“Dari 6 Jan 2021 ke 6 Jan 2022 kita berjaya jual dalam 540,000 botol Sambal Nyet yang bersamaan dengan jualan RM 7.5 juta.

“Sehingga hari ni 2 Mar 2022, jumlah ini telah naik ke 621,800 botol bersamaan dengan sales RM 8.6 Juta,” katanya.

Menerusi bebenang di Twitter, Khairul Aming turut berkongsi pengalamannya sebelum membuka kilang tersebut.

“Bermula dengan R&D memasak di rumah, ke lot kedai dan ke kilang seluas 14,000 sqft ni, banyak benda yang aku belajar.

“Mula-mula berat hati nak bina kilang sendiri sebab ramai suggest untuk hire OEM untuk buat produk. Tapi sebab aku nak belajar A-Z, ini risiko yang kena ambil.

“Sepanjang setengah tahun yang lepas macam-macam silap aku buat. Ada tersilap beli mesin, tersilap beli material, tersilap design layout etc.

“Tapi dari situ la kita belajar. Selepas spend lebih dari 1 juta ringgit, ini kilang yang beroperasi pada hari ini,” katanya.