Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pak Nil Terkejut 4,000 Pek Pes Balado Keluarannya Laris Terjual Dalam Masa 4 Jam Sahaja

Gempak
03/09/2021 06:45 MYT
Pengacara tersohor Malaysia, Datuk Aznil Nawawi seakan tidak percaya apabila produk makanan yang diperkenalkannya baru-baru ini, iaitu pes Balado Pak Nil laris hanya dalam masa empat jam sahaja.

Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berkata, pada awalnya beliau hanya memperuntukkan sebanyak 2,000 pek pes sebagai jualan pembukaan.

Namun, tanpa disangka, bekas pengacara program realiti Akademi Fantasia itu menerima sehingga 4,000 tempahan awal disebabkan permintaan yang sangat menggalakkan,

“Saya buka tempahan sekitar pukul 6 petang. Tapi pada pukul 10 malam, kesemua pes telah habis dijual. Lebih mengejutkan, saya menerima tempahan berganda daripada sasaran asal.

“Memang pada asalnya saya rancang untuk jual 2,000 pek pes sahaja. Tetapi, pengikut di Instagram ada nombor akaun bank saya. Jadi mereka membayar siap-siap menjadikan jumlah tempahan meningkat ke angka 4,000.

“Alhamdulillah dengan sambutan yang diberikan. Saya meniaga bukan untuk senang. Tetapi lebih kepada berkongsi rezeki apa adanya,” ujar Pak Nil kepada Gempak.

A post shared by Datuk Aznil Hj Nawawi (@aznilnawawihm)


Ditanya mengenai bagaimana idea untuk memasarkan pes Balado Pak Nil tercetus, Pak Nil memberitahu, segalanya bermula apabila pengikutnya menyaksikan beliau memasak di Instagram.

“Ketika PKP, saya memasak sambal balado untuk disedekahkan kepada barisan hadapan. Pada waktu itu, ramai pula yang suruh jual supaya mereka yang berada di Lembah Klang boleh beli. Tanpa disangka, sambutan jualan sangat memberangsangkan dan pengikut meminta pula saya keluarkan pes supaya satu Malaysia dapat merasa.

“Jadi, daripada situ tercetus idea untuk mengeluarkan dua variasi Balado Pak Nil iaitu Balado Pak Nil Merah dan Balado Pak Nil Hijau. Dari segi resipi pula, pes ini dibikin mengikut resipi arwah ibu saya. Arwah ibu dan bapa kan orang Minang, jadi kami sekeluarga memang membesar dengan masakan dari Minang,” katanya lagi.

Ditanya adakah beliau bakal memasarkan pelbagai variasi pes sambal atau produk lain pada masa akan datang, Pak Nil berkata, beliau tidak menolak untuk mempelbagaikan produk makananan keluarannya.

“Perancangan itu ada, cuma buat masa ini saya fokus dahulu dengan dua jenis pes balado ini. Bimbang jika terlalu mengejar kuantiti, kualiti tidak terjaga,” tutup Pak Nil.
#Aznil Nawawi #Pak Nil #Sold Out #Balado
;