Berita
“Pakai Je Apapun..Asalkan Jangan Bogel” - Nourul Depp Komen Isu Pakai Baju Tradisi Bangsa
Penyanyi Nourul Depp menyifatkan tiada salahnya bagi satu-satu bangsa di negara ini untuk mengayakan pakaian tradisi kaum lain.
Sebaliknya, menurut Nourul hal itu sepatutnya menjadi satu kebanggaan memandangkan kita semua hidup dalam sebuah masyarakat majmuk.
“Soal sari, soal budaya kita kan rakyat Malaysia. Ada tiga bangsa, budaya. Tak salah nak pakai baju bangsa Cina ke India.
“Muhibbah, lagi-lagi bulan Merdeka ini kita kena sedar siapa dan apa itu Malaysia,” katanya menerusi satu entri di Instagram.
Dalam posting tersebut, Nourul turut memuat naik gambar dirinya dalam persalinan sari yang merupakan pakaian tradisional masyarakat India.
Katanya lagi, pemakaian busana tradisional sesuatu bangsa sepatutnya tidak dijadikan sebagai satu isu.
“Nak berkelahi, jangan pakai baju bangsa atau mempermainkan budaya. Pada kami tak ada kena mengena sebab sesama bangsa hormat antara satu sama lain sebab tu pakai,” katanya.
Bahkan, kata Nourul sebagai rakyat Malaysia, dia juga mempunyai koleksi pakaian tradisional kaum lain.
“Di rumah kami ada semua baju budaya. Baju budaya Vosgien laki kami sahaja tak ada.
“Pakai sahaja apapun. Asalkan jangan bogel dok melilau sana sini.
“Kami suka sari. Dari kecil dah biasa pakai. Kami bukan ke ada darah keturunan India. Jadi, tak salahkan kami memakmurkan lagi asal usul kita,” katanya.
Terdahulu, pelakon Mira Filzah menerima kecaman netizen selepas didakwa menyalahgunakan pakaian tradisi perkahwinan masyarakat India.
Ia susulan perkongsian Mira menerusi beberapa keping foto dirinya menggayakan persalinan lehenga di Instagram baru-baru ini.
Ekoran dakwaan ‘cultural appropriation’ oleh sesetengah pihak, Mira kemudian tampil memohon maaf.
Must-Watch Video