“Pakai Labuh, Syukur Ramai Mula Tutup Dada Tapi…”Faezah Elai Mohon Jangan Guna Namanya Jual Tudung

Mya Amri
Jun 24, 2020 04:33 MYT
Pelakon Faezah Elai menegur sikap sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan menggunakan namanya untuk melariskan perniagaan tudung labuh.
Faezah menerusi coretan di akaun Instagramnya memberitahu pada mulanya dia tidak mengambil pusing perkara itu namun apabila dibiarkan isu berkenaan menjadi semakin teruk.
Tambah Faezah lagi, ada juga segelintir pembeli mula mendakwa ditipu sebaik sahaja membeli tudung berkenaan.
“Saya rasa bersyukur bila ada orang habaq yang ramai bertudung labuh lepaih tengok cheq pakai. Jadi ramai yang keluaqkan tudung style ala-ala Faezah Elai. Sudah tentu saya perasan ada diantara kamu menggunakan nama saya untuk menjual tudung.
“Sebab saya masih berdiam diri adalah kerana saya sangat gembira apabila ramai yang sudah mula menutupi bahagian dada mereka. Jika sebab Faezah Elai lah ramai yang bertudung labuh, cheq sangat bersyukur pada Mu Ya Allah.
“Tapi disebabkan macam banyak sangat DM, jangan kata kat cheq saja, habih satu keturunan cheq ampa DM dok tanya macam mana nak jadi agen atau stockist Tudung Faezah Elai…
“Cheq Faezah Elai nak habaq, cheq takdak perniagaan tudung yang ampa dok nak jadi stockist atau agen. Ramai yang merungut kata kena tipu, beli yang tak original. Ada yang tanya macam mana nak tahu ori atau palsu.
“Tak kisahlah tudung jenama apa pun ampa nak pakai, tapi kalu dulu pakai yang pendek sekarang yang labuh,” tulisnya.
Menerusi entri itu, Faezah juga menegaskan dia tidak mempunyai sebarang perniagaan tudung seperti didakwa sesetengah pihak.
“Alhamdulillah kita menang, sama-sama kita istiqomah. Cheq memang pakai tudung labuh ni disebabkan cheq nak pakai bukan sebab cheq jual.
“So kalau boleh ampa tolonglah habaq kat kawan-kawan ampa yang dok beli Tudung Faezah Elai tu supaya depa tak kata cheq ni menipu sebab cheq takdak perniagaan tudung. Kalau ada cheq sendiri akan habaq.
“Jadi kat sini tak kesahlah ampa nak pakai jenama apa pun, harga berapa pun, as long as menutup dada pon dah Alhamdulillah,” tulisnya.
Terdahulu, Faezah merupakan antara artis yang dipuji netizen kerana berpenampilan sopan selain mengenakan tudung labuh.
#Faezah Elai