Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Viral

“Pakcik Akan Ingat Nasihat Anakanda” – Sempoi! Menteri Hal Ehwal Agama Bahasakan Dirinya Pakcik Kepada Kanak-Kanak Kirim Kuih Raya

Fiza Kamarudin 20/05/2020 | 04:00 MYT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri terharu menerima kiriman kad dan kuih raya daripada seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Kanak-kanak tersebut, Nadzrul Zarfan Sharul Azly baru-baru ini menjadi tular bukan sahaja kerana kad dan kuih raya kirimannya tetapi juga hasrat untuk bekerjasama dengan Dr Zulkifli.
Menerusi kad yang dikirim, Nadzrul meluahkan hasratnya untuk berkolaborasi dengan Dr Zulkifli untuk menghasilkan buku Bayyan Linnas versi komik untuk kanak-kanak.
Komik tersebut juga bertujuan untuk menarik minat kanak-kanak dalam menuntut ilmu agama kerana konsepnya yang santai dan paling mudah difahami.
Cadangan bernas tersebut juga menarik minat Dr Zulkifli dan beliau telah berkongsi mengenainya di laman sosial Facebook (FB), Isnin lalu.
“Terima kasih anakanda Nadzrul Zarfan untuk kiriman kad raya dan hadiah kuih-muih. Pakcik amat terharu dengan surat anakanda.
“Pakcik akan ingat nasihat dan pesan anakanda. Siap ada pantun ‘pecah kaca, pecah gelas. Lepas baca, harap balas’…
“Insya-Allah nanti pakcik balas kad raya anakanda Nadzrul sekeluarga ni,” katanya.
Sementara itu menerusi ruangan komen, rata-rata pengikut menyokong cadangan Nadzrul yang mahu menghasilkan komik Bayyan Linas versi kanak-kanak itu.
Pengikut FB juga memuji sikap rendah diri Dr Zulkifli yang menggunakan gelaran pakcik sebagai kata nama ganti dirinya.
Mereka turut mendoakan agar Menteri Hal Ehwal Agama itu dipermudahkan urusan dalam mendukung tanggungjawab dan amanah negara.

#Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri #Kad Raya
;