Siri Netflix popular, La Casa De Papel atau Money Heist pastinya meninggalkan kesan berbeza apabila musim kelima yang bakal tiba akan menjadi penutup tirai sekaligus mengucapkan selamat tinggal kepada semua penonton.

Money Heist Part 5: Volume 1 akan mula menemui penonton pada 3 September ini.

Sejurus itu, penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa, Yuna tampil mempersembahkan lagu Bella Ciao dengan iringan muzik berprestij oleh Orkestra Filharmonik Malaysia.

Bella Ciao yang bermaksud 'selamat tinggal yang indah' merupakan lagu rakyat Itali sejak abad ke-19. Lagu ini juga menjadi simbol yang terkenal dalam francais Money Heist yang ditonton di seluruh dunia.

Dalam video yang telah dikongsi di platform media sosial Netflix Malaysia, Yuna dan pemain muzik Orkestra Filharmonik Malaysia memakai persalinan merah seperti yang dipakai para pelakon Money Heist bersama topeng wajah ketika melakukan kegiatan pencurian dalam siri berkenaan.

Menerusi tinjauan Gempak, rata-rata warganet meninggalkan respon positif mengagumi hasil persembahan Yuna dan seakan tidak sabar menantikan musim terakhir Money Heist di Netflix, Jumaat ini.



Video penuh cover Bella Ciao dari Yuna & Orkestra Filharmonik Malaysia juga boleh ditonton di Facebook, Instagram dan Twitter Netflix Malaysia.