Laman Utama
Paling Ramai Cameo! Ini 5 Sebab Anda Perlu Tonton Filem Mat Bond Malaya
Filem arahan pertama Nabil Ahmad, Mat Bond Malaya sudah mula ditayangkan sejak 20 Julai lalu dan meraih pelbagai reaksi ramai.
Ramai yang memuji filem komedi aksi penyiasatan ini, ternyata gabungan sulung Naqiu dan Elizabeth Tan juga membuahkan hasil.
Bagi yang belum berkesempatan menonton Mat Bond Malaya, Gempak kongsikan lima perkara menarik tentang filem ini.
Advertisement
1. Komedi sempoi
Sejujurnya sebelum menonton filem ini kosongkan minda anda dan terima naskhah ini secara terbuka. Ia bersifat humor santai bertujuan untuk disaksikan seisi keluarga.
Tidak hairanlah juga ada yang menyifatkan unsur jenaka dalam Mat Bond Malaya sama seperti siri televisyen terkenal Austin Powers dan aksinya ala-ala Stephen Chow.
2. Chemistry Naqiu-Lizzy
Elizabeth Tan atau Lizzy barangkali sudah biasa beraksi di hadapan kamera, bukan pertama kali berlakon filem tetapi pujian harus diberikan kepada hero Mat Bond Malaya, Naqiu.
Juara Gegar Vaganza 2019 itu memberikan persembahan cemerlang dalam naskah pertama lakonannya. Biarpun adakalanya sedikit tergelincir daripada karakter, nampak terlalu mencuba, tetapi Naqiu berjaya memperbaiki semula dan memujuk penonton untuk terus setia.
Paling mencuit hati penulis adalah aksi Naqiu berbalas pick up line dengan Lizzy di dalam restoran. Bukan main eh!
Jujur kata, Naqiu ni kelakar sebenarnya.
3. Cameo paling ramai
Ini antara naskhah filem yang menampilkan ramai pelakon undangan sebagai cameo. Setiap cameo pula berperanan sebagai agen penyiasat, fuh!
Antara yang muncul ialah Datuk Yusuf Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Ramli MS, Ning Baizura, Didie Alias dan Syafiq Kyle. Nak tahu lebih kenalah tengok!
4. Empat pengarah extra
Konsep Mat Bond Malaya adalah cerita dalam cerita. Plot ceritanya berubah mengikut ideologi setiap pengarah yang muncul.
Selain Nabil, filem ini turut menampilkan Michael Ang, Ghaz Abu Bakar, Aziz M Osman dan Mamat Khalid selaku pengarahnya.
Paling lucu bila semua pelakon tiba-tiba boleh bercakap telor Perak apabila Mamat Khalid duduk di kerusi pengarah. Lain macam eh.
5. Berbalik pada agama
Elemen utama yang Nabil cuba ketengahkan dalam filemnya ialah landasan agama. Sejauh mana kita pergi, seteruk mana atau sesusah mana berdepan masalah, jalan terbaik adalah agama.
Begitu juga penamat filem ini, anda perlu lihat sendiri bagaimana penyiasat menyelesaikan masalah dan ancaman zombi daripada terus berleluasa. Memang plot twist habis!
Filem Mat Bond Malaya mengisahkan tentang Mat yang ingin menjadi seorang ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, dia berjaya bekerja di M6, tetapi sebagai ‘office boy’. Pada masa yang sama, dia mula menyukai salah seorang ejen jelita bernama Bondi. Mat telah dicabar oleh G untuk mengambil gambar bersama Bondi.
Namun Mat tidak berjaya dan disebabkan kalah dalam pertaruhan, Mat terpaksa menjadi pembantu peribadi kepada G dalam menguruskan bahagian penyamaran identiti. Satu hari dunia telah digemparkan dengan serangan virus zombie yang disebarkan oleh Dr Ebel.
Ramai yang terkena virus tersebut termasuklah ejen-ejen di M6 dan Bondi. Mat tiada pilihan melainkan dan perlu mencari penawar bagi menyelamatkan semua orang sebelum virus tersebut merebak ke seluruh dunia.
Saksikan filem Mat Bond Malaya telah berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 20 Julai 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook,Twitter Astro Shaw.
Must-Watch Video