Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

“Paling Sukar Bila Babak Menangis” - Sabronzo Dolla Kongsi Pengalaman Berlakon

Mya Amri 01/06/2021 | 02:55 MYT

Anggota kumpulan Dolla, Sabronzo berkongsi pengalaman pertama sebagai seorang pelakon.

Berkongsi pengalaman kali pertama mencuba bidang lakonan, Sabronzo mengakui sedikit kekok ketika memasuki set penggambaran.

Menurut Sabronzo, momen yang paling sukar adalah untuk melakonkan babak menangis.

“Tidak dinafikan bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pelakon, apatah lagi ini adalah pengalaman pertama semua anggota Dolla.

“Nasib baik pengarah dan krew banyak membantu sewaktu di set, jadi kami berjaya juga menghayati watak masing-masing.

“Bagi saya bahagian paling sukar apabila dipaksa untuk menangis. Tapi saya amat mengagumi Tabby dan Syasya, biarpun kali pertama tetapi mereka boleh melakonkan adengan menangis dengan semula jadi.

“Nasib baik pengarah boleh bersabar dengan saya apabila meminta saya mengingati dan mendengarkan lagu sedih supaya boleh menghayati babak menangis,” katanya.

Tambah Sabronzo, Dolla juga sudah bersedia sekiranya lakonan dikritik memandangkan mereka juga masih baru dalam dunia lakonan.

“Kami bersedia dikritik oleh penonton dan tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami ‘kayu’ selepas menonton aksi pertama kami dalam bidang lakonan.

“Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan,” jelasnya.

Dolla sebelum ini muncul dengan telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music.

Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar ini diinspirasikan dari kisah benar kumpulan Dolla yang dianggotai oleh Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle.

#Telefilem #DOLLA #Dolla Watch Me Glow #Pengalaman Berlakon #Pertama Kali Berlakon #Sabronzo Dolla
;