Pamer Kualiti Bertaraf Antarabangsa, Sembilan Tampilkan Gabungan Bintang Hebat Malaysia & Indonesia

Syafiqah Jalal
Disember 6, 2019 16:47 MYT
Drama bersiri Sembilan yang bersiaran secara eksklusif di Astro GO dibintangi oleh pelakon hebat Malaysia dan Indonesia.
Nama-nama hebat pelakon Malaysia yang membintangi Sembilan adalah Beto Kusyairi, Amerul Affendi, Azhan Rani, Sara Ali dan Luqman Hafidz, sementara bintang Indonesia yang terlibat adalah Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Endhita Wibisono dan Roy Marten.
Menurut pengarahnya Razaisyam Rashid, kos untuk drama bersiri 10 episod ini agak berbeza bagi menghasilkan kualiti siri bertaraf filem antarabangsa.
“Kos untuk drama ini agak tinggi dan saya boleh kata paling tinggi dari drama bersiri biasa.
“Saya perlukan ia untuk ‘push’ kualiti drama bersiri ini... Biarpun hanya drama, tapi ia bertaraf filem antarabangsa.
“Selain peruntukan untuk set penggambaran, kos itu juga termasuk pelakon tambahan yang kita gunakan sebanyak 1,000 orang,” katanya kepada Gempak.
Sembilan yang bergenre seram thriller ini mempunyai 10 episod dan setiap satunya berdurasi satu jam.
Drama ini boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO secara percuma mulai 6 Disember ini.
Mengulas mengenai drama tersebut, Razaisyam yang juga pengarah filem Pusaka itu memberitahu ia naskah yang berat untuk digalas.
“Kami mengambil masa selama 74 hari penggambaran untuk selesaikan drama 10 episod ini.
“Lokasi penggambaran juga agak mencabar kerana kami terpaksa berada di pedalaman yang tidak mempunyai liputan atau ‘internet’.
“Bayangkan selama lebih dua bulan itu kami berada di sekitar Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), Lembah Klang dan selebihnya di Studio Pinewood Iskandar, Johor Bahru.
“Selain itu, ia memberi cabaran juga kepada pelakon-pelakon kerana mereka terpaksa menggunakan bahasa yang mereka tidak pernah dengar iaitu dialek Bahasa Melayu Pontianak. Namun mereka berjaya memberikan yang terbaik,” katanya lagi.
Sembilan mengisahkan tentang watak seorang pelacur bernama Rimbun (lakonan Atiqah Hasiholan) yang mempunyai reputasi buruk di kalangan penduduk Kampung Tanah Merah.
Rimbun kemudiannya hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki bernama Taduh (lakonan Bima Azriel). Namun begitu, Rimbun tidak mengetahui siapakah bapa kandung kepada Taduh dan mengabaikannya.
Pada suatu hari, Taduh tiba-tiba hilang tanpa dikesan. Pada ketika saat itulah, Rimbun akhirnya menyedari yang Taduh adalah satu-satunya harta yang dia miliki dan tidak sanggup kehilangannya.
Rimbun berusaha mencari Taduh dan sanggup merayu kepada penduduk kampung untuk membantu mencari Taduh. Namun, usaha pencarian mereka menemui jalan buntu.
Namun, misteri kehilangan Taduh yang belum terungkai tiba-tiba dikejutkan pula dengan kemunculan semula Taduh tetapi masih dalam keadaan usia 9 tahun sama seperti sewaktu kehilangannya dahulu.
Kepulangan Taduh mengundang pelbagai spekulasi daripada penduduk Kampung Tanah Merah.
Adakah dia masih ‘Taduh’ ataupun cuma jelmaan? Nantikan di Astro GO bermula 6 Disember ini.
Untuk menonton menerusi aplikasi Astro GO, pengguna iPhone boleh memuat turun aplikasi menerusi AppStore dan pengguna Android menerusi Playstore.
#Sembilan #Astro Go