“Pandai Jaga Staf” - Syafiqah Aina ‘Borong’ Beg Tangan Berjenama Untuk Semua Pekerja

Azwa Rahman
Julai 13, 2020 10:34 MYT
Personaliti media sosial yang juga usahawan syafiqah Aina mencuri perhatian wargamaya apabila menghadiahkan sebuah beg tangan berjenama kepada semua kakitangannya.
Menerusi laman sosial Instagram, Aina berkongsi sebuah video sedang membeli beg-beg daripada jenama terkenal Charles & Keith tersebut untuk tatapan umum.
“Haritu ada sorang team management letak wallpaper gambar beg tangan Charles & Keith sebagai wishlist dia. Kemudian staff lain kumpul duit untuk hadiahkan beg tangan tu diam-diam pada dia.
“Saya sangat gembira lihat perkara tu. Terus tergerak hati dan Aina cerita dekat Hafiz, Aina nak hadiahkan yang lain jugak. Hafiz cakap okay, jom kita keluar cari beg tangan untuk diorang. “Aina paling syukur bila dari awal dulu staff biasakan baca Al-Waqiah setiap pagi dekat pejabat untuk jaga keberkatan rezeki tu.
“Mereka sangat bahagia dan Aina tahu bahagia mereka bukan sebab mengharapkan hadiah daripada Aina dan Hafiz. Tapi sebab syukur dikelilingi dan berada dalam keluarga AINAA,” jelasnya menerusi ruangan kapsyen.
Menerusi video berdurasi kurang empat minit itu, Aina dilihat memilih berpuluh beg tangan untuk diberikan kepada semua kakitangan wanita dan lelaki yang bekerja di syarikat serum miliknya.
Malah, suaminya Hafiz Mahamad turut meminta kakitangan lelaki untuk menghadiahkan beg tangan pemberian mereka itu kepada isteri atau ibu masing-masing sebagai tanda berkongsi rezeki.
Meninjau ke ruangan komen, ramai teruja melihat kegembiraan yang terpancar di wajah setiap kakitangan Aina dan Hafiz.
“Happynya diorang dapar hadiah! Semoga dilimpahi rezeki yang berkat dan berpanjangan,” tulis seorang wargamaya.
“Seronoknya! Tahniah Aina, patut dijadikan contoh,” puji seorang wargamaya.
“Sentap dengar ayat tak miskin pun kalau kita memberi, good luck Aina,” luah seorang wargamaya.
“Menangis tengok video kali ni sebab tengok bos yang sayang dan jaga staff betul-betul,” kata seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat hampir setengah juta tontonan daripada warga Instagram.
Imbas kembali, Hafiz dan Aina telah mendirikan rumah tangga pada 24 November 2017.
Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan Raisya Narisa pada 25 Jun 2019.
#Hafiz Mahamad #Syafiqah Aina #Beg tangan berjenama