Nama Malaysia sekali lagi harum dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa setelah seorang pelajar muncul terbaik bagi mata pelajaran matematik dan matematik tambahan di peringkat dunia.

Andrew Nge Jing Shuen, 17, dari Beaconhouse Sri Inai International School, Petaling Jaya baru-baru ini berjaya memperoleh anugerah berprestij dari Cambridge Assesment International Education semasa ‘Outstanding Cambridge Learner Award’.

Dia memperoleh markah tertinggi ‘International General Certificate of Secondary Education’ (IGCSE) untuk matematik (tanpa kerja kursus) dan matematik tambahan bagi peperiksaan November 2018.

“Saya amat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan antarabangsa ini. Saya suka matematik kerana ia mencabar saya untuk menyelesaikan masalah yang sukar.

“Saya gembira kerana semangat dan kerja keras telah membantu saya mencapai detik yang tidak akan dilupakan ini,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Online hari ini.

Setiap tahun, kira-kira sejuta pelajar dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam peperiksaan berasaskan Cambridge International dengan program IGCSE Cambridge pula mewakili penyedia bagi kelayakan O-Level terbesar di dunia di lebih daripada 1,900 sekolah di lebih daripada 50 buah negara.

Sementara itu, Pengetua Eksekutif, Beaconhouse Sri Inai International School, Nicki Coombs berkata, pihaknya amat berbangga dengan pencapaian yang diperoleh Jing Shuen tersebut.

“Beliau telah bekerja keras dan telah mencipta pencapaian akademik yang mengagumkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia benar-benar layak mendapat pengiktirafan antarabangsa ini,” katanya.

Sumber: Utusan Online