Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pandelela Rinong Takut Jarum Sejak Kecil, Farah Ann Rasa Lebih Selamat Selepas Ambil Vaksin

Azwa Rahman
14/04/2021 04:48 MYT
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengakui dirinya seorang yang takut jarum suntikan sejak daripada kecil lagi.

Memetik laporan Bernama, atlet terjun yang berusia 28 tahun ini terpaksa memberanikan diri menerima suntikan vaksin COVID-19 untuk ke Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo kelak.

"Saya jenis yang takut jarum tapi tadi syukur tak sakit. Jururawat pun baik, semua orang mesra dan bekerjasama," katanya selepas menerima suntikan pertama Pfizer-BioNTech bersama 263 atlet dan individu lain di Pusat Vaksinasi Kompleks Sukan Desa Tasik di Cheras pada Selasa.

Selepas pengambilan berkenaan, atlet dari Sarawak itu kini lebih yakin dalam menjalani rutin harian, berlatih dan pertandingan termasuklah Piala Dunia Terjun di Tokyo yang dijadualkan dari 1 hingga 6 Mei.

Pandelela yang memenangi pingat perak acara terjun 10 meter platform seirama di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Cheong Jun Hoong, kelihatan bersemangat untuk mengambil bahagian dalam kejohanan dan mahu menggunakan pertandingan di Tokyo itu bagi mendapatkan semula suasana pertandingan lebih awal daripada Olimpik pada Julai di venue yang sama.

Sementara itu, ratu gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi menyatakan yang dia berasa lebih selamat untuk menyertai Piala Cabaran Dunia FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) di Kaherah, Mesir pada Jun, selepas menerima suntikan vaksin.

"Saya ada pertandingan pertama setelah sekian lama, dan saya rasa lebih selamat dan selesa untuk pergi ke Mesir (selepas divaksinasi). Sebab kita mesti risau disebabkan pandemik dan bertanding di luar negara, jadi saya rasa lebih selamat," katanya.

Selain Pandalela dan Farah Ann, beberapa atlet lain yang turut menerima suntikan vaksin adalah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Muhammad Ziyad Zolkefli (olahraga paralimpik), Muhammad Fadhil Mohd Zonis (berbasikal trek), S Suresh (memanah paralimpik) dan ramai lagi.

Sumber: Bernama

#Pandelela Rinong #Farah Ann #COVID-19
;