Sejak Pandemik COVID-19 melanda dunia pada 2020, pergerakan kebanyakan orang dilihat sangat terbatas. Hal ini turut memberi kesan terhadap penggiat seni dalam dan luar negara.

Bagi Rashidi Ishak, apabila diberi tanggungjawab untuk mengisi salah satu kerusi pengarahan drama bersiri I-Tanggang, aktor berbakat besar itu mengakui banyak menempuh halangan sepanjang menjayakan sesi penggambaran.

Salah satu daripadanya adalah tekanan akibat COVID-19.

“Proses penggambaran drama ini berjalan selama 60 hari dan disebabkan kes COVID-19 ketika itu masih tinggi, kami terpaksa berkompromi dengan beberapa hal seperti mencari lokasi yang tidak terlalu kecil.

“Namun, bukan senang nak cari lokasi sebegitu ketika waktu pandemik. Namun, saya bersyukur kerana segalanya dapat diselesaikan dan drama I-Tanggang berjaya disiapkan.

“Dalam masa sama, para pelakon yang terlibat juga memberikan persembahan yang terbaik,” ujar Rashidi kepada Gempak.

Turut bergelar berlakon dalam drama tersebut, Rashidi berkata, dia banyak berkomunikasi dengan dua pengarah lain iaitu Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin. Tambah Rashidi, walaupun berkongsi kerusi pengarahan, namun peranannya sebagai sutradara adalah sama banyak dengan dua pengarah lain.

“Peranan saya sama dengan Hasliza dan Alauddin. Kami banyak berbincang dalam usaha merealisasikan skrip yang telah ditulis. Sepanjang proses itu aa juga kami berselisih pendapat tetapi ia merupakan satu proses untuk mendapatkan hasil yang baik,” katanya lagi.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.