Filem animasi paling dinanti-nantikan Mechamato Movie terpaksa ditunda tayangannya pada 2022.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Pengawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak.

Menurutnya, mengikut perancangan awal pihaknya bercadang untuk menayangkan Mechamato Movie di pawagam pada tahun ini.

“Namun, melihat kepada keadaan pandemik COVID-19, kami percaya adalah lebih baik jika Mechamato Movie ditunda ke 2022.

“Kami berharap pada 2022, semua golongan, terutamanya kanak-kanak akan dapat menerima vaksin dan kita semua berjaya mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Jelas Nizam, pihak mereka juga masih memikirkan sama ada untuk menayangkan musim pertama Siri Mechamato pada tahun ini atau tidak.

“Mungkin adalah lebih baik jika kami menayangkan musim pertama Siri Mechamato pada tahun ini?

“Nantikan pengumuman daripada kami pada minggu-minggu dan bulan-bulan akan datang,” katanya menerusi satu posting di Facebook.

Sekadar info, Mechamato Movie terlebih dahulu dirancang untuk ditayangkan pada penghujung tahun 2020.

Namun begitu, disebabkan wabak COVID-19, filem serta animasi yang dinanti-nantikan itu terpaksa ditangguhkan ke tahun ini sebelum ia sekali lagi ditunda.

Mechamato berkisarkan penggembaraan seorang pemuda bernama Amato yang secara tidak sengaja menjadi pemilik MechaBot, sebuah Power Sphera yang mempunyai kebolehan untuk ‘Mechanize’ dengan objek lain.

Kemunculan Amato yang telah dewasa dalam babak pasca-kredit BoBoiBoy Movie 2 telah mendedahkan identiti beliau sebagai ayah kepada BoBoiBoy.