[Pandu Uji]-Nissan X-Trail 2.0L 2WD Hybrid atau 2.5L 4WD, dua-dua ada kelebihan tersendiri
Buat masa ini, trend segmen SUV boleh dikatakan semakin menambat hati pengguna di dunia dan ia juga merebak bagi pasaran Malaysia.
Jadi tidak perlu terkejut jika ada beberapa pengeluar automotif semakin tawar hati untuk menawarkan segmen sedan dan lebih menumpukan kepada jentera SUV untuk mereka kekal releven dalam pasaran semasa.

Untuk kekal releven dalam industri automotif tempatan, ETCM turut melancarkan SUV baharu menerusi model Nissan X-Trail yang dilancarkan April lalu.
Ia ditawarkan dengan empat varian berbeza, tetapi penulis hanya sempat menguji dua daripadanya iaitu Nissan X-Trail 2.0 L 2WD Hybrid dan Nissan X-Trail 2.5L 4WD.

Bagi mengetahui apa kelebihan jentera ini, penulis dijemput ETCM memandu ujinya dari Shah Alam, Selangor ke Gerik, Perak.
Dalam keluarga X-Trail, varian hibrid ini adalah model yang paling mahal selepas ia dijual pada harga RM159,888.
Biarpun harga yang mahal, ia sebenarnya agak berbaloi kerana banyak ciri-ciri baharu serta teknologi terkini pada model berkenaan.
Ia boleh dibezakan dengan enjin hibrid yang digunakan iaitu MR20DD 2.0L DOHC Twin CVTC suntikan terus yang menyalurkan 142hp pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm. Motor elektriknya memberi kuasa tambahan sehingga 39hp dan tork 160Nm.

Bagi penulis, enjin itu sebenarnya memberi kuasa yang cukup mengagumkan lebih-lebih lagi ketika menekan pedal minyak dan ia memberi tindak balas responsif.
Pada masa sama, kuasa yang dibekalkan itu membuatkan penulis lebih yakin dan tidak lagi ragu-ragu untuk memotong kenderaan lain pada laluan berbukit ketika melalui jalan berbukit.
Lebih menarik, pengendaliannya juga lebih rasa ‘sedap’ ketika mengambil selekoh dan ia lebih jitu. Suspensinya juga memain peranan yang penting dan memberi kestabilan, selain kurang rasa membuang ketika melayan selekoh pada kelajuan tinggi.
Pada kelajuan tinggi, penulis boleh rasakan sterengnya rasa sedikit berat dimana ia memberi lebih yakin untuk memandu.

Sistem audionya tidak kurang hebatnya, ini kerana ia mempunyai ciri navigasi, Apple CarPlay dan Android Auto yang memudahkan penggunanya menikmati muzik kegemaran sepanjang pemanduan.
Paling penting, ia dilengkapi dengan ciri pemanduan pintar yang lengkap, Nissan Intelligent Mobility. Ia terdiri daripada Amaran Perlanggaran Depan Pintar (iFCW) dengan Brek Kecemasan Depan Pintar (iFEB), Bantuan Suluh Tinggi (AHB), Amaran Tukar Lorong (LDW), Amaran Titik Buta (BSW), Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA), Monitor Pandang Keliling Pintar (iAVM) dengan Pengesan Objek Gerak Pintar (iMOD), Kawalan Pandu Pintar (iRC) dan Brek Enjin Pintar (iEB).

Cuma, model hibrid ini tidak mempunyai barisan tempat duduk di bahagian belakang kerana ruang itu dipenuhi dengan bateri lithium-ion. Bagaimanapun, ruang simpanan but masih lagi luas dan tidak akan memberi masalah jika mahu mengisi barangan yang banyak.
Biarpun harga sedikit mahal, ia sebenarnya banyak memberi kelebihan terutama prestasi, penjimatan bahan api serta paling penting ciri Nissan Intelligent Mobility yang canggih.
Sebaik menukar kepada varian Nissan X-Trail 2.5L 4WD, memang banyak perbezaannya. Dari segi harga, ia lebih murah yang dijual pada harga RM153,888.
Kelebihan varian ini, ia mempunyai tujuh tempat duduk berbanding dengan varian hibrid yang memiliki lima tempat duduk. Bagi mereka yang mahu SUV bersaiz besar dengan tempat banyak, Nissan X-Trail 2.5L 4WD adalah pilihan tepat untuk anda.

Prestasi enjin juga lebih kurang sama dengan versi hibrid, cuma ia terasa sedikit berat, tetapi ketika memecut di lebuh raya, varian ini boleh dikatakan cukup bagus serta sangat mantap.
Pada kelajuan 160km/j, penulis rasanya seolah-olah rasa seperti dalam kelajuan 110km/j. Ini jelas menunjukkan SUV ini rasa stabil dan cukup padu pada kelajuan tinggi.

Bagaimanapun, padanan sistem Intelligent 4×4 Mode ternyata memberi satu lagi ciri kelebihan kepada varian ini. Ia sangat berguna untuk memberi pengendalian yang stabil di selekoh untuk memberi cengkaman kepada keempat-empat roda apabila diperlukan.
Dari segi ciri keselamatan, jentera ini langsung tidak mengecewakan selepas ia turut dilengkapi Nissan Intelligent Mobility, iaitu hampir sama seperti varian hibrid.
Kesimpulannya, bagi penulis yang sudah berkeluarga, semestinya Nissan X-Trail 2.5L 4WD menjadi pilihan kerana ia mempunyai tujuh tempat duduk serta mempunyai ciri teknologi terkini hampir sama seperti varian hibrid.