Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berganding bahu Bersama lapan syarikat telekomunikasi dengan menawarkan panggilan percuma ke talian Befrienders bermula 1 Ogos ini.

Kerjasama ini sebagai satu inisiatif bagi menangani isu kemurungan dan mempunyai niat membunuh diri dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Menurut satu kenyataan rasmi dikeluarkan MCMC, syarikat telekomunikasi yang terlibat ialah Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Webe Digital Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

Menurut Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak, usaha tersebut dijalankan bagi meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab masyarakat dalam menangani isu kesihatan dan kestabilan emosi dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Gejala membunuh diri dianggap tragedi dalam masyarakat, namun ia boleh dicegah dan dibanteras dengan adanya usaha kolektif daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan dan pemain industri.

“Antara langkah utama yang perlu diambil adalah dengan menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental dan gejala bunuh diri melalui akses kepada talian Befrienders, yang kini percuma untuk mendapatkan khidmat nasihat, kaunseling dan bantuan emosi," katanya.

Menurutnya, Brienders merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

"Pemanggil boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders. Semua perbualan adalah rahsia," katanya.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Butiran lanjut mengenai Befrienders di negeri-negeri lain boleh didapati di www.befrienders.org.my.