Pengasas kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berdepan detik cemas apabila anak bongsunya, Ibraheem Adham, 4, hilang ketika mereka sekeluarga bercuti di pulau Gili Trawangan, Lombok, Indonesia baru-baru ini.

Kejadian berlaku sejurus selepas Aliff melakukan aktiviti sukaneka tepi pantai bersama keluarga dan 40 kakitangan serta stokis D'herbs yang dibawa bercuti bersama-sama.

"Saya memang terkejut dan sangat panik apabila tiba-tiba Baim (panggilan Ibraheem) hilang daripada pandangan pengasuhnya yang terleka dengan keriuhan acara kami beramai-ramai.

"Iyalah, sukaneka hanya melibatkan orang dewasa, kanak-kanak dibiarkan bermain tepi pantai dengan pengawasan pengasuh.

"Hanya orang yang ada anak sahaja yang tahu betapa menggelabahnya saya apabila anak sendiri lesap daripada pandangan walaupun sekejap," katanya kepada Astro Gempak.

Hampir 10 minit misi mencari Ibraheem dipergiatkan di pesisir pantai utama pulau itu termasuk beberapa premis perniagaan kawasan tempat kali terakhir melihat kelibat anak bongsunya itu.

Nasib menyebelahi Aliff yang turut ditemani isterinya, Datin Seri Norshahida Mohd. Rashid dan dua anak mereka, Ahmad Rayyan, 11, dan Qadejah El Zahra, 6, apabila berjaya menemukan Ibraheem bersama seorang warga tempatan.

Ibraheem yang sedang teresak-esak menangis itu dipimpin lelaki tempatan tidak jauh daripada kawasan sukaneka terbabit.

"Saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku dan akan lebih berwaspada selepas ini," kata Norshahida yang kini sedang hamil enam bulan.

Insiden ini boleh disaksikan menerusi drama realiti musim kedua, Oh Abang Kosmetik yang bakal bersiaran tidak lama lagi.



Teks oleh: Amri Hassan