HIBURAN

Panik! Nadeera Zaini Hampir Hilang 169,000 Pengikut Instagram - “Tergamak Dia Kata Saya…

Asyraf Roslan 03/07/2025 | 23:55 MYT
Penyanyi, Nadeera Zaini akui terkejut apabila akaun Instagramnya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

Menurut Nadeera, insiden itu berlaku selepas dia menerima satu e-mel yang mencurigakan dan hanya membaca isi kandungan tanpa menekan sebarang link yang tertera.

Bagaimanapun, selepas satu jam Nadeera menerima panggilan daripada pengurusnya yang menyatakan akaunnya telah digodam.

“Saya ada terima satu email, saya tak ada tekan apa-apa link hanya baca sahaja tapi selepas beberapa jam manager saya hubungi saya dan kata akaun saya dah kena hack.

“Postingnya keluar adalah posting jual telepon, apa yang nak jualnya. Tergamak dia kata saya ni jual phone. Ramai kawan-kawan yang mesej saya sebab mereka tahu itu bukan posting daripada saya.

“Saya bersyukur dah dapat balik tapi bila kita check hackers tu dah block number-number penting termasuk client,” kongsi Nadeera kepada Gempak.

Dalam pada itu, pelantun lagu Bukan Lagi Kita ini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang sekeliling yang membantunya untuk mendapatkan akaun tersebut kembali.

Jelas Nadeera, meskipun tidak mempunyai pengikut yang ramai namun akaun tersebut tetap bermakna kerana perjalanan seninya banyak di kongsi di akaun berkenaan.

“Daripada sini juga saya tahu ramai yang peduli dengan saya, bagi kata-kata semangat sebab diorang macam tak percaya. Walaupun angka 169,000 itu bagi orang macam tak banyak tapi bukan saya sebab nak kumpul sebanyak itu bukan mudah sebab bertahun-tahun saya kumpu.

“Semalam saya memang tak tahu nak buat apa, down sangat-sangat. Saya memang tak boleh nak fikir apa semalam, saya rasa siapa yang pernah kena macam ni mereka fahamlah. Tapi saya nak ucapkan terima kasih kepada orang-orang yang hubungi saya.

“Kecewa sangat-sangat sebab saya daripada tiada apa-apa, banyak kenangan saya dengan akaun tu semua pertandingan saya masuk saya share kat sana dan untuk berkongsi dengan pengikut saya dan bila jadi macam ni memang saya panik tapi dengan bantuan orang disekeliling saya dapat juga kembali akaun saya itu,” ujarnya
#Instagram #Nadeera Zaini #Kena Hack