Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan cabaran apabila terpaksa memanjat sehingga ke tingkat 14 di Wisma Hock An kerana lif di kediaman terbabit sudah tiga tahun mengalami kerosakan.

Tular di laman sosial Twitter apabila petugas KKM yang dikenali sebagai Farihin Fattah, 29, berkongsi momen tersebut bersama wargamaya.

“Sebab kedegilan penghuni yang malas turun di Chow Kit minggu lepas, team Pejabat Kesihatan Daerah terpaksa ambush satu rumah ke satu rumah untuk pemantauan dan lakukan aktiviti persampelan.



“Banyak cerita duka lara pasukan hari ini. Ada yang pengsan, muntah, dehydrated semua ada memandangkan hampir semua team kami berpuasa.

“Ketinggian rumah 14 tingkat, kami dibahagi kepada setiap satu team cover 2 tingkat. Satu tingkat ada 10 buah rumah. Keadaan persekitaran yang sangat tidak bersih dan berbau memang mencabar pahala puasa. 4 jam hidu bau hancing busuk untuk pastikan semua penghuni menjalani persampelan,” kata Farihin ketika dihubungi Gempak.

Malah, Farihin turut memaklumkan aktiviti mengetuk pintu rumah ke rumah untuk memaksa penghuni turun buat persampelan sangat mencabar kerana mereka tidak mahu turun gara-gara lif rosak.



“Alasan mereka bagi taknak turun sebab lif rosak dah tiga tahun weh,” ujarnya.

Menjelang lebaran yang bakal tiba, anak kelahiran Terengganu ini turut berkongsi dia sudah 9 bulan tidak dapat bertemu ibu dan bapa di kampung.

“Saya dah 9 bulan tak balik kampung sebab sejak Februari tak dapat cuti. Hari-hari kerja sejak dah sertai pasukan COVID-19,” tutur Farihin.

Malah, Farihin turut mengambil kesempatan mahu melepaskan rindu terhadap kedua orang tuanya menerusi dedikasi raya.



“Selamat Hari Raya buat Ibu dan Ayah di kampung Bukit Tunggal Terengganu, Maaf Zahir dan Batin. Maafkan anakanda sudah lama tidak berkesempatan balik ke kampung,” utusnya kepada ibu bapa tercinta.

Farihin dan seluruh pasukan KKM sekali lagi menyeru agar semua rakyat Malaysia bertanggungjawab menjaga keselamatan diri masing-masing.

“KKM komited untuk perangi COVID 19, kita belum menang. Perjuangan ini terletak di tangan anda. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dan sentiasa memberi kerjasama,” jelasnya lagi.