Selebriti dan sosialit Hollywood, Paris Hilton mengundang perhatian apabila bertindak memadam ciapan berkaitan keganasan serangan regim zionis Israel terhadap Palestin baru-baru ini.

Memetik laporan The News, Hilton pada mulanya menyuarakan pendapat peribadinya yang meminta Israel menghentikan pembunuhan dan keganasan terhadap penduduk Palestin yang tidak bersalah.

"Ini sangat menghancurkan hati, perkara ini perlu dihentikan! #SavePalestine #GazaUnderAttack #stopthegenocide," tulisnya.

Sementara dalam satu ciapan lain yang disertakan video seorang kanak-kanak Palestin perempuan kesedihan selepas kawasan kejiranannya diserang, Hilton menegaskan tiada siapa yang patut hidup dalam ketakutan.

"Perkara ini menyedihkan saya, tiada siapa patut hidup dalam ketakutan, kasih sayang saya bersama kanak-kanak perempuan ini dan kanak-kanak lain di sekelilingnya," tulisnya.

Tidak lama selepas itu, Hilton memadam semua kenyataan itu dan menggantikan dengan satu kenyataan berbentuk umum berbunyi:

"Salam sayang dan kata semangat untuk seluruh dunia, doa untuk keamanan untuk jadikan dunia ini tempat yang lebih baik untuk semua".

Bagaimanapun, rata-rata netizen membalas ciapan itu dengan berkongsi keprihatinan mereka terhadap nasib yang menimpa Palestin.

Antara nama besar Hollywood yang lantang menentang keganasan Israel terhadap Palestin adalah Bella Hadid, Zayn Malik dan ramai lagi.

Kredit Foto: Geo.tv