Empat orang kanak-kanak comel berasal dari Thailand menjadi viral selepas membuat parodi muzik video kumpulan K-pop terkenal, BLACKPINK dengan lagu berjudul Ddu-Du Ddu-Du baru-baru ini.

Difahamkan kanak-kanak itu merupakan anggota kumpulan Deksorkrao yang dikenali kerana mempunyai bakat menari dan kreativiti membuat parodi muzik video lagu-lagu popular dengan bajet yang rendah.

Deksorkrao dianggotai oleh empat orang gadis cilik iaitu Mommaem, Kungten, Som dan Kwang yang masing-masing berusia dalam lingkungan 7 hingga 10 tahun.

Uniknya muzik video tersebut, gadis-gadis cilik ini berjaya membawakan watak anggota BLACKPINK iaitu Jennie, Lisa, Rose dan Jisoo dengan baik sehingga berjaya menarik perhatian penonton.

Bukan sahaja mimik muka ‘swag’, mereka juga dipuji kerana kreativiti pemilihan ‘props’ yang digunakan untuk menghidupkan muzik video berkenaan.



Malah pemilihan lokasi yang digunakan juga cukup menarik antaranya kebun, ruangan tempat letak kereta beratapkan zink dan juga penggunaan pakaian serta aksesori.

Sehingga kini, muzik video parodi itu telah mencecah lebih lima juta tontonan selepas dimuat naik di YouTube Deksorkrao pada 18 Ogos lalu.

BLACKPINK yang terkenal menerusi lagu hit mereka iaitu Boombayah dan Whistle merupakan artis di bawah naugan syarikat pengurusan YG Entertainment.



Selain BLACKPINK, artis terkenal lain yang turut berada dalam pengurusan yang sama adalah BIGBANG, IKON dan WINNER.

Foto: Instagram @deksorkrao

Youtube: Blackpink / Deksorkrao