Sambutan hari lahir personaliti popular Hollywood, Kendall Jenner pada Sabtu menerima kritikan hebat dari warganet.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan keluarga yang terkenal dengan program realiti Keeping Up With The Kardashian itu tidak mengambil berat akan soal penularan wabak COVID-19 yang masih mengganas.

Walaubagaimanapun, ibu Kendall, Kris Jenner tampil memberikan penjelasan terhadap situasi sebenar ketika sambutan hari lahir itu.

Memetik laporan Daily Mail pada 3 November 2020, Kris mengatakan protokol kesihatan telah diamalkan ketika sambutan hari lahir anaknya yang turut dihadiri oleh barisan selebriti popular itu.

"Kami sangat bertuah untuk bekerja dalam industri ini kerana kami sentiasa lakukan ujian saringan sekali atau dua kali setiap minggu.

"Ketika kami berkumpul, tidak kiralah dalam majlis besar atau kecil, tidak kira lima tau 25 orang, atau 20 orang, seperti di majlis hari lahir Kendall, semua yang terlibat menghadiri majlis itu telah menjalani ujian saringan.

"Setelah melakukan saringan, mereka semua harus menunggu sehingga keputusan ujian itu dikeluarkan," katan Kris dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Kris akui dia tidak mampu mengawal kritikan warganet yang mendakwa keluarganya melanggar peraturan dan berpotensi menyebarkan wabak COVID-19.

"Kami lakukan apa yang kami boleh lakukan, kami cuba ikut peraturan, kalau orang mahu komen dan mengkritik, saya tak boleh kawal perkara itu, saya hanya mampu kawal kelakuan kami sahaja," katanya lagi.

Difahamkan, sambutan hari lahir Kendall diadakan pada Sabtu baru-baru ini sekaligus meraikan parti Halloween bersama keluarga dan tetamu undangan.

Antara selebriti popular yang hadir ke parti tersebut adalah The Weeknd, Winnie Harlow, Justin dan Hailey Bieber.

Sumber : Daily Mail