Pasangan Hina Islam Diikat Jamin RM40,000, Tapi Dicekup Semula Jawi Tak Sampai Sehari
Shahrin Zulkifle
19/07/2022 08:38 MYT
19/07/2022 08:38 MYT
Pasangan yang didakwa menghina Islam ketika melakukan persembahan komedi di sebuah kelab, Siti Nuramira Abdullah dan V Alexander Navin, hari ini membayar wang jaminan berjumlah RM20,000 untuk setiap seorang.
Pasangan itu dijamin pada Isnin oleh rakan mereka di Kaunter Bayaran Jaminan di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Petaling Jaya melalui peguam yang dilantik, R Sivaraj.
Bagaimanapun, munurut Sivaraj, beliau tidak dapat mengesahkan bila anak guamnya yang masing-masing ditahan di Penjara Satelit Beranang (Nuramirah) dan Penjara Satelit Kuala Kubu Bharu (Navin) akan dibebaskan.
Menurut Sivaraj, wang jaminan itu adalah hasil kutipan sumbangan orang ramai, yang dimasukkan ke dalam akaun kumpulan hak asasi manusia, Lawyers For Liberty (LFL).
"LFL mengeluarkan dana itu kepada saya sebagai pemegang amanah. Saya akan menyerahkannya kepada penjamin, yang kemudiannya akan membuat bayaran kepada mahkamah serta disimpan dalam jagaan mahkamah.
"Prosedur ikat jamin akan dilakukan hari ini, tetapi kami tidak pasti bila mereka akan dibebaskan. Namun, selaku peguam, saya berpandangan tertuduh sepatutnya dibebaskan serta merta selepas membayar wang ikat jamin.
"Kebiasaannya, kami memahami dalam tempoh pandemik ini berlaku kelewatan pembebasan mereka yang disebabkan oleh faktor teknikal, pengangkutan dan kuarantin," katanya.
Sebelum itu, pasangan tersebut telah merayu dan memohon bantuan dana dari orang awam bagi membayar wang ikat jamin sebanyak RM 40,000.
Meskipun sudah dilepaskan dengan ikat jamin, Nuramira ditahan semula oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada jam 10.30 pagi, Selasa.
Tahanan itu dibuat selepas dia menandatangani Borang Jamin ditemani peguamnya, Ramesh Chandran.
Mengikut prosedur, wanita itu akan ditahan oleh Jawi selama 24 jam sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada Rabu.
Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, yang membenarkan Siti Nuramira, 26, diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin dan memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.
Pada hari yang sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.
Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagram pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTube pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.
Sumber - Awani dan Berita Harian
Sumber - Awani dan Berita Harian