Lima daripada 58 kawasan yang terjejas di Kuala Lumpur dan Gombak telah menerima bekalan air sepenuhnya pada pukul 3 petang semalam, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri dalam satu kenyataan hari ini berkata lima kawasan yang bekalan air pulih sepenuhnya ialah Kementerian Pertahanan, Pusat Latihan Polis, Taman Dato Ahmad Razali, Taman Putra Sulaiman dan Seksyen 4 Wangsa Maju.

Beliau berkata gangguan bekalan air itu adalah disebabkan kerja-kerja penggantian injap pada saluran paip air mentah dari Empangan Klang Gate yang menyebabkan penutupan sementara operasi Loji Rawatan Air di Bukit Nanas dan Wangsa Maju semalam.

lina berkata tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza berdasarkan jarak premis pengguna dan tekanan air pada sistem pengagihan.

"Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang menerima bekalan air supaya memastikan air yang keluar daripada paip adalah jernih sebelum menggunakannya untuk kegunaan harian," kata beliau.

Elina juga berkata Air Selangor berharap mereka yang sudah menerima bekalan air supaya menggunakannya secara berhemat bagi membolehkan proses pemulihan di kawasan lain yang terjejas berjalan dengan lancar seperti dijadualkan.

Status pemulihan bekalan air akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk laman sesawangnya www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram atau dengan menghubungi pusat panggilan di talian 15300.

Sumber: Bernama