Buat mereka yang berhadapan dengan masalah campur tangan urusan rumah tangga daripada pihak ketiga, pihak berkaitan boleh membuat aduan di pejabat penguat kuasa agama berhampiran.

Demikian nasihat peguam syarie, Raihan Mustafa Kamal sekiranya pasangan suami isteri berkenaan menghadapi masalah itu bagi membolehkan kertas siasatan dibuka atas kes berkenaan.

"Sekiranya kes tersebut bermerit, kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan syarie bagi tujuan pendakwaan.

"Diingatkan, jika aduan dibuat berkaitan dengan orang ketiga, pastikan pihak berkenaan mempunyai bukti semasa membuat aduan. Ini kerana, kebanyakan kes orang ketiga tidak didakwa kerana kurangnya bukti ketika aduan dilaporkan," katanya.

Menurut Raihan, perkara itu dinyatakan jelas sepertimana undang-undang yang diperuntukkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

"Ia antara lain melibatkan kesalahan memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab," terang beliau.

Bagi membendung masalah tersebut, Raihan menitipkan pesan supaya ibu bapa tidak mencampuri urusan rumah tangga anak yang telah berkahwin.

"Biarlah kedua-dua pasangan berkenaan hidup dengan cara dan gaya mereka sendiri dalam mengemudi rumah tangga. Jangan masuk campur melainkan jika ada dharar.

"Menasihati (anak) sahaja tidak mengapa. Bagaimanapun, mengawal perkahwinan anak tersebut adalah satu perkara yang tidak wajar kerana tindakan tersebut mungkin menyebabkan ibu bapa boleh didakwa di bawah kesalahan jenayah syariah sebagaimana yang disebutkan tadi," ujar beliau.

Seperkara lagi, Raihan turut menegaskan, andai kata seseorang menerima lafaz cerai menerusi mesej, rujuklah kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan pengesahan.

Jelas beliau, lafaz talak melalui mesej bukanlah kata muktamad yang menyatakan bahawa seorang isteri itu telah diceraikan.

"Mesej tersebut perlu dibuktikan di mahkamah dan apakah niat si suami semasa menulis lafaz tersebut. Jadi, amatlah penting sekiranya berlaku kejadian seperti ini, pihak isteri ke mahkamah syariah untuk membuat pengesahan daripada membuat andaian sendiri bahawa mereka telah ditalakkan.

"Hakim akan membuat satu siasatan sama ada lafaz tersebut jatuh talak ataupun tidak," jelas beliau sepertimana diperuntuk dalam Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.



Sumber: Sinar Harian