Penyanyi dan usahawan terkenal, Mila Jirin berkongsi mengenai perkara yang membuatkan dia kuat untuk meneruskan perniagaan meskipun dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

Menurut Mila, semangat yang ditunjukkan para pekerjanya menjadi punca kekuatan untuk dia terus mencari rezeki.

"Saya bersemangat disebabkan para pekerja saya sendiri, sebenarnya saya jarang panggil mereka pekerja, saya lebih selesa menggelar mereka pasukan saya.

"Bagi saya, pasukan dan pekerja itu adalah dua perkara berbeza, di hadapan mereka pun saya guna perkataan pasukan, bukan pekerja.

"Dari situ, semangat berpasukan memang menjadi luar biasa, mereka juga telah lakukan perkara yang tak pernah saya duga, bayangkan mereka sebelum ini kerja bahagian operasi, perkahwinan dan sebagainya, tetapi kini mereka boleh uruskan perniagaan durian pula.

"Ia memang berbeza berbanding skop kerja mereka sebelum ini," katanya.

Mila berkata demikian ketika ditemubual secara virtual Gempak pada Selasa.

Justeru, sebagai seorang majikan, semestinya Mila gembira melihat semangat pasukannya lalu membuatkan dia terus bermotivasi meneruskan perniagaan.

"Semangat mereka bekerja itulah yang membuatkan saya kuat, apabila lihat mereka bersemangat, saya sebagai orang yang mengemudi, sudah tentu saya akan menjadi lebih bersemangat," katanya lagi.

BACA: Mila Jirin Terpaksa Buat Pinjaman Bank Bayar Gaji Pekerja - "Mereka Pun Ada Komitmen..."

Difahamkan, jumlah keseluruhan pekerja Mila sehingga hari ini mencecah sekitar 117 orang di bawah enam syarikat yang diuruskannya dan jumlah gaji yang diberikan kepada mereka secara keseluruhan mencecah RM200,000 sebulan.

Mila adalah pengasas dan pemilik syarikat Bizmilla yang menawarkan pakej perkahwinan, katering dan lain-lain.

Mila juga aktif berniaga durian yang semakin mendapat sambutan di media sosial.