Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pathaan Kutip RM289 Juta 5 Hari Tayangan!

Amri Hassan
30/01/2023 09:25 MYT
Rekod yang terus menggila! Selepas lima hari tayangan, filem Bollywood lakonan Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone kini mencatat jumlah kutipan global sekitar Rs 550 Crore (RM286 juta).

Ternyata kemunculan semula King of Bollywood ke layar perak itu selepas empat tahun membuahkan hasil yang luar biasa.

Pathaan memecahkan rekod semua kutipan filem Bollywood sebagai filem yang mengutip jualan tiket tertinggi pada minggu pertama ditayangkan.

Penganalisis Ramesh Bala menjangkakan angka tersebut bakal meningkat lebih cemerlang dalam tempoh singkat.

Malah, penganalisis Taran Adarsh melihat Pathaan melakar sejarah baharu dalam industri perfileman Bollywood.

"Pathaan sedang melakar sejarah baharu. Lebih Rs 50 Crore (RM26 juta) dikutip setiap hari dalam tempoh empat hari, itu rekod baharu.

"Ia akan memadam rekod sepanjang hayat filem pecah panggung tertinggi SRK sendiri, Chennai Express pada hari kelima tayangan Pathaan. Sekali gus mengatasi rekod KGF2, Baahubali 2 dan Dangal," tulisnya dalam Tweet berantai.

Filem thriller penyiasatan arahan Siddharth Anand itu mula ditayangkan pada 25 Januari lalu dengan kutipan pembukaan sebanyak Rs 57 Crore (RM29 juta) pada hari pertama.

Kutipan kian bertambah dengan Rs 70 Crore (RM36 juta), Rs 39 Crore (RM20 juta) dan Rs 53 Crore (RM27 juta) pada hari-hari berikutnya.

Kejayaan Pathaan itu telah menenggelamkan rekod yang pernah dipegang oleh KGF2 dan Baahubali 2 sebelum ini.

Pathaan menampilkan Shah Rukh Khan, Deepika Padukone, John Abraham dan Dimple Kapadia sebagai tunjang utama.

Filem itu ditayangkan di 5,500 buah pawagam di India dan 2,500 pawagam seluruh dunia.

Sumber: Indian Express

#Shah Rukh Khan #Filem #Deepika Padukone #Bollywood #Kutipan #Box Office #John Abraham #Pathaan
;