Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan, 27, mendedahkan dia dan suami, usahawan Siew Jim belum lagi tinggal sebumbung sejak berkahwin pada Mac lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Elizabeth atau lebih mesra dipanggil Lizzy menyatakan mereka sudah membuat perjanjian untuk tinggal berasingan memandangkan masing-masing memilih untuk tinggal bersama ibu.

"Saya dan suami memilih untuk tinggal berasingan. Sejak berkahwin, kami belum pernah tinggal sebumbung.

"Suami memilih untuk tinggal bersama ibunya. Sebagai anak bongsu, saya pula tidak bersedia meninggalkan ibu saya.

"Dari awal perkahwinan, kami sudah membuat perjanjian untuk tinggal berasingan. Kami hanya akan berjumpa apabila perlu. Mungkin seminggu atau dua minggu sekali.

"Saya seronok dengan kehidupan seperti ini, sekurang-kurangnya saya dan suami mempunyai ruang sendiri.

"Setakat ini, kami langsung tidak pernah berbincang untuk duduk sebumbung. Mungkin jika dikurniakan cahaya mata, barulah kami memikirkan soal ini," katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Semua Sudah akui berasa sedih apabila setiap hari ratusan pengikut bertindak tidak mengikutinya lagi di Instagram (IG).

"Ia membuatkan saya sangat sedih. Bayangkan, beratus-ratus 'unfollow' setiap hari disebabkan saya berkahwin.

"Saya tak menyangka ugutan peminat untuk 'unfollow' saya dalam IG adalah serius. Biarpun bergelar isteri, tetapi tiada banyak yang mengubah hidup saya. Peminat tidak tahu percaturan hidup kami," katanya lagi.

Terdahulu, Lizzy membuatkan ramai lelaki 'patah hati' apabila gambarnya telah berkahwin tular di media sosial.

Gambar itu dimuat naik menerusi satu hantaran di Facebook oleh seorang individu bernama David Tan Suan Chew dipercayai bapa kepada Lizzy.

BACA: Didakwa Telah Berkahwin, Elizabeth Tan Akhirnya Bersuara! - "Ini Sangat Peribadi, Saya Minta Maaf Kerana ..."


Sumber: Berita Harian