HIBURAN

Pegang Ais & Suhu Cecah Lebih 50 Darjah Celsius, Ustazah Farhatul Imbau Momen Di Padang Arafah - “Keadaan Agak...”

Khairil Khusyairi 06/06/2025 | 02:20 MYT
Pendakwah, Ustazah Farhatul Fairuzah berkongsi kenangannya berada di Padang Arafah ketika mengerjakan ibadah haji sebelum ini.
Kongsi Farhatul, dia terkenangkan momen ibadah wukuf yang mencabar ketika itu dimana suhu panas mencecah lebih 50 darjah Celsius.
Namun, Farhatul bersyukur dapat melaksanakan ibadah wukuf yang juga satu daripada lima rukun haji itu dengan sempurna.
“Mengimbau kenangan di Hari Arafah.
“Teringat kenangan pada hari Arafah berjihad untuk terus berdoa walaupun keadaan yang agak mencabar 50+ celcius.
“Masya-Allah tapi dengan izinNya dapat bertahan dan perasaan yang sangat hiba memohon ampun sebagai hamba yang hina dengan nikmat yang sangat banyak Allah dah bagi,” kongsinya yang turut berkongsi foto-foto momen di Arafah.
Ramalan cuaca menyatakan suhu di sekitar Arafah diramal tinggi hari ini bermula tengah hari hingga petang, dengan kemuncak antara jam 2 hingga 4 petang yang akan mencecah 41 darjah Celsius.
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi memaklumkan jemaah haji tidak dibenar keluar terutama ketika masyair di Arafah antara jam 10 pagi hingga 4 petang, susulan jangkaan suhu yang mungkin mencecah maksimum 40 hingga 45 darjah Celsius.
Jemaah juga dilarang untuk ke Masjid Namirah dan Jabal Rahmah yang menjadi antara lokasi kegemaran duyufurrahman termasuk dari Malaysia, antara tempoh waktu sama untuk mengelak risiko strok haba.
Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi merekodkan 41 kes kelesuan haba dalam kalangan jemaah haji.
Pada tahun lalu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan pasukan perubatan merawat 2,764 jemaah yang mengalami kelesuan haba, selain pelbagai kondisi lain berkaitan cuaca panas.
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah dilapor berkata untuk mengekang risiko sama, ribuan kipas dengan keupayaan penyejukan disediakan selain 400 unit penyejuk berasaskan air, sementara pihak berkuasa turut menyediakan laluan dilengkapi pelindung termasuk sepanjang 2.5 kilometer yang baharu siap menuju Arafah.
#Wukuf #Panas #Cuaca #Farhatul Fairuzah #Arafah #Padang Arafah