Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pegawai Kadet UPNM Ditekap Seterika: ATM Sahkan Kes Sedang Dalam Siasatan

Gempak
31/10/2024 21:55 MYT
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan mengenai kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang didakwa menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.

"Siasatan sedang dijalankan dan biar proses ini berjalan.

"ATM memandang serius isu sebegini dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dengan kes berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, ATM dalam kenyataan memaklumkan kejadian membabitkan pelajar kadet yang disyaki dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.

Pada masa sama, ATM menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

Masyarakat juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.

Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang cedera apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Berikutan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Sumber - Sinar Harian

#ATM #Ditekap seterika #Pegawai Kadet UPNM
;