Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Peguam Nadir Al-Nuri Nafi Dakwaan Anak Guam Tak Balas Pesanan Telekomunikasi Pihak Polis Sehingga Terpaksa Minta Bantuan Interpol

Fiza Kamarudin
22/08/2021 16:30 MYT
Peguam kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menafikan dakwaan yang tular mengenai anak guamnya.

Menurut beliau dakwaan tersebut yang menyatakan anak guamnya itu tidak membalas pesanan telekomunikasi yang dihantar oleh pihak polis sehingga terpaksa meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) adalah tidak tepat.

Zainul Rijal menerusi sebuah kenyataan berkata, anak guamnya telah dihubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meminta kerjasama berhubung siasatan kenyataan terhadap pendakwah terkenal Ebit Lew.
Sehubungan itu anak guamnya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung siasatan berkenaan.

“Nadir Al-Nuri, sudah dihubungi oleh Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, hari ini dan anak guam kami sudah pun memaklumkan untuk memberi kerjasama dalam siasatan tersebut.

“Walaubagaimanapun sebagaimana diketahui umum, anak guam kami (dan orang lain juga) menghadapi kesukaran untuk keluar dari Gaza, Palestin, dan masuk semula jika beliau keluar buat masa ini disebabkan sempadan keluar dan masuk Gaza dikawal ketat oleh pihak berkuasa memandangkan situasi terkini di Palestin,” katanya.

Tambah Zainul Rijal anak guamnya kini sedang melanjutkan pengajian di Gaza dan melaksanakan pelbagai aktiviti masyarakat sivil membantu warga Gaza di sana, khususnya bantuan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia.

“Anak guam kami sedia memberi kerjasama dalam apa juga keterangan yang dibuat mengikut undang-undang demi membantu keadilan dilaksana.

“Sehingga kini anakguam kami masih belum mengetahui butiran laoran polis yang dibuat oleh pihak terbabit secara terperinci,” katanya.



Dalam perkembangan terkini, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Caprice atau Ariz Ramli berjaya dihubungi dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).
“Penyanyi itu baru berhubung dengan pegawai penyiasat setelah pihak Interpol menghubunginya.

“Selain itu, kita dimaklumkan Nadir iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu bersedia untuk memberi kerjasama yang sewajarnya,” katanya.

Polis semalam memohon bantuan Interpol untuk mengesan Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat pendakwah Ebit Lew.

Ebit membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dilontarkan beberapa individu terhadapnya menerusi laman sosial dipercayai turut berkait misi bantuan kemanusiaannya ke Palestin, baru-baru ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#Polis #PDRM #Ebit Lew #Peguam #Nadir Al-Nuri #Interpol
;