Peguam-peguam Negeri Sembilan membuat aduan kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Sembilan berhubung layanan istimewa yang diberikan kepada selebriti popular, Noor Neelofa dan suaminya, Mohammad Haris Ismail semasa mereka hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis lalu.

Menerusi aduan tersebut, mereka dikatakan mempersoalkan mengenai layanan istimewa apabila kenderaan pasangan itu yang dibenarkan memasuki ke dalam kompleks mahkamah, sementara individu yang lain pula perlu parkir di bahagian luar.

Memetik laporan Sinar Harian, kenderaan yang dibenarkan parkir di dalam kawasan premis mahkamah itu hanya kenderaan kakitangan, peguam, polis, pendakwa raya dan pengecualian kepada orang awam (orang kurang upaya).

Malah, pengadu turut mendakwa bahawa ada sesetengah peguam yang dimarahi oleh pengawal keselamatan apabila mereka meminta untuk membawa masuk kenderaan ke dalam pekarangan mahkamah.

Namun, mereka patuh bagi menghormati integriti institusi tersebut.

Menerusi aduan itu lagi, perlakuan ini bukan sahaja akan dipandang negatif oleh orang awam, malah mahkamah juga akan terpalit sama dengan pandangan yang buruk.

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Sembilan, Azmi Abdoll Aziz, pihaknya menerima surat aduan tersebut pada petang Khamis, iaitu hari sama kes Neelofa dihadapkan ke Mahkamah Seremban.

Katanya, surat aduan tersebut telah dimajukan kepada Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan, Madihah Harullah pada petang Jumaat.

"Kita telah serahkan surat kepada pihak Mahkamah Negeri Sembilan dan berharap mereka akan memberi maklum balas dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.