BERITA

Peguam Sahkan Wujud Kecederaan Pada Jasad Zara Qairina

Gempak 11/08/2025 | 06:55 MYT

Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan memang terdapat kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, sebagaimana yang tersebar di media sosial hasil pemerhatiannya sepanjang proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Peguam Shahlan Jufri berkata, beliau berada di bilik bedah siasat selama lapan jam tanpa makan dan minum bagi memerhati keseluruhan prosedur yang dijalankan oleh pasukan forensik.

“Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit.

“Seperti yang tersebar di media itu, saya tidak berapa ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HQEI di sini pada malam Ahad.

Beliau turut menegaskan proses bedah siasat berjalan dengan telus tanpa campur tangan pihak luar.

“Proses itu saya berpuas hati kerana tidak ada campur tangan mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat sahaja.

“Memang proses bedah siasat itu berjalan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” tegasnya.

Sumber: Sinar Harian

#Peguam #Zara Qairina