Selepas tular kenyataan personaliti media sosial 'rezeki suami datang dari redha isteri', ramai yang berdebat dan mengemukakan hujah masing-masing.

BACA: "Hey Lelaki, Rezeki Kamu Datang Dari Redha Kami" - Ramai Bangkang Syafiqah Aina, Kata Rezeki Datang Dari Allah

Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil menjelaskan kenyataan tersebut menerusi akaun Twitter rasmi baru-baru ini.

"Pemilik mutlak rezeki itu ialah Allah SWT. Tiada siapa yang mampu untuk menandingi Allah SWT. Walaupun tanpa redha sesiapa, jika Allah berkehendak untuk memberikan rezeki kepada hamba-Nya, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitu juga sebaliknya.

"Ucapan sebegitu perlu diperjelaskan. Tanpa penjelasan lanjut ia boleh menimbulkan salah faham.

"Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga. Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT," ciap akaun terbabit.

Selain itu, ada banyak cara untuk mendapat rezeki termasuk memperbanyakkan istighfar dan bersedekah.

Tambah akaun itu, biarpun rezeki suami tidak terletak pada redha isteri secara langsung, ia berkait rapat dengan aspek menjaga hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga.

"Para suami jangan ambil ringan tanggungjawab anda. Para isteri jangan ambil kesempatan untuk meminta apa sahaja sehingga boleh menyusahkan para suami.

"Adapun rezeki suami atau lelaki bukanlah terletak pada redha isteri atau wanita secara langsung, namun ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan.

"Dan punca turunnya rezeki. Pesanan kami, apa sahaja kandungan video, pastikan ia tidak menimbulkan salah faham.Rujuk kepada yang lebih arif," pesannya.