Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Viral

Pejabat Pendidikan Daerah Pitas Melawat Veveonah Selepas Tular Ambil Exam Atas Pokok

Fiza Kamarudin 18/06/2020 | 09:53 MYT
Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin yang tular baru-baru ini kerana terpaksa menghadiri peperiksaan online di atas pokok, mendapat kunjungan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas.
Perkara tersebut dikongsi PPD Pitas di akaun rasmi Facebook mereka pada petang Rabu yang memuji semangat Veveonah demi ilmu.
Mereka turut mendoakan agar Veveonah terus cemerlang dan bersemangat pada masa akan datang.
“Melawat kampung adik Veveonah Mosibin #viralyoutube (akses online). Terbaik semangat adik Veveonah dalam menghadapi situasi menjawab peperiksaan secara atas talian dalam keadaan kawasan yang tidak kuat capaian Internet. Semoga adik Veveonah akan terus cemerlang dan bersemangat,” tulis admin pada ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut telah mendapat hampir 1000 perkongsian daripada warganet dan rata-rata komen mengucapkan terima kasih kepada PPD Pitas kerana cakna dengan keadaan Veveonah.
Perkara tersebut juga telah mendapat perhatian daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
SKMM menerusi sebuah kenyataan pada Rabu memaklumkan, telah merancang untuk membina sebuah menara telekomunikasi baharu di Kampung Bilangau Kecil, yang terletak berhampiran dengan Kampung Sapatalang di Pitas, Sabah.
Menara telekomunikasi itu akan dibina di bawah Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1, yang dijangka siap menjelang suku kedua tahun 2021.
[[BACA: Kesiannya...Pelajar Ini Terpaksa Panjat Pokok, Dapatkan Internet Untuk Jawab Exam!]]
“Bagi memberi liputan yang lebih berkualiti di sekitar kawasan itu, SKMM juga telah membuat perancangan untuk menaik taraf liputan kepada 4G di bawah program Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP), sejak awal tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.
Terdahulu, tular sebuah video mengenai seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin, yang memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah, demi mendapatkan capaian Internet bagi menduduki peperiksaan secara dalam talian.
“Berdasarkan laporan yang diperolehi, terdapat sebuah menara telekomunikasi yang memberi liputan 3G dalam lingkungan 1.4 kilometer (km), dari kampung pelajar berkenaan.
“Liputan 3G itu, membolehkan pelajar mengambil peperiksaan secara dalam talian, manakala bagi tujuan aktiviti penstriman pula, ia memerlukan liputan yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, MCMC sentiasa prihatin dengan keluhan masyarakat berkaitan kemudahan telekomunikasi, terutamanya di kawasan luar bandar dan melakukan usaha berterusan untuk merapatkan jurang digital di seluruh negara.
#Viral #Viral #Veveonah Mosibin #Exam Atas Pokok
;