Berita
Pekerja Maut Gara-Gara Terkena Serpihan Bunga Api, Ahli Keluarga Mangsa Mohon Pengguna X Padam Video & Gambar
Baru-baru ini, tular di Platform X mengenai sebuah video yang memaparkan kejadian letupan bunga api sehingga melibatkan seorang pekerja yang mengendalikan bunga api berkenaan menemui ajal.
Video dan foto situasi menyayat hati itu bagaimanapun dikongsikan secara terbuka di media sosial, menyebabkan ramai dalam kalangan netizen meminta supaya rakaman tersebut dipadamkan.
Lebih menyedihkan apabila permintaan itu diminta oleh ahli keluarga mangsa.
Sementara itu, menurut laporan Sinar Harian, kejadian tersebut berlaku sekitarpukul 12.30 tengah hari ketika mangsa yang berusia 40 tahun ditugaskan untuk memasang bunga api bagi sambutan perayaan ambang tahun baru di sebuah hotel.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku di bahagian bumbung atas bangunan tempat letak kenderaan hotel berkenaan.
"Ekoran kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun meninggal dunia manakala seorang lagi berusia 39 tahun dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat terkena serpihan bahan bunga api yang meletup," katanya dalam kenyataan semalam.
"Kejadian masih dalam siasatan polis dan diharapkan orang ramai tidak memainkan isu atau menyebabkan salah faham masyarakat.
Setakat artikel ini ditulis, mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kejadian ini masih dalam siasatan polis.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memviralkan lagi isu ini agar tidak menganggu siasatan.
Sumber: Platform X & Sinar Harian