Berpengalaman beraksi di layar perak tidak memberi kelebihan kepada pelakon Pekin Ibrahim untuk menjiwai watak sebagai Cikgu Azman dalam filem terbaharu lakonannya, Gemenchech Boys.

Bukan sahaja melantik guru lakonan, Pekin juga sanggup menjadi ‘stalker’ kepada Cikgu Azman yang sebenar dengan mengikuti segala gerak geri pendidik itu.

“Susah nak menjayakan watak Cikgu Azman, lagipun saya hanya mempunyai beberapa bulan saja untuk menguasai watak. Saya pula lidah Kelantan jadi bila nak tukar ke lidah Nogori ini kena ada yang membimbing.

“Tambah lagi dialog kita tak boleh main tukar saja sebab Cikgu Azman yang sebenar masih ada. Saya sampaikan di rumah pun bercakap Nogori dengan isteri saya Mona, sebab watak ini.

“Saya juga pergi ke sana duduk dengan orang kampung, lepak kedai kopi bercakap dengan orang Nogori, lama-lama saya sudah terbiasa. Dua bulan lebih juga saya nak menguasai dialek ini.

“Malah saya juga ada pergi perhati cara Cikgu Azman mengajar di sekolah sebab saya mahu apa yang saya jayakan itu sama dengan karakternya,” katanya kepada Gempak.

Pekin ditemui di sidang media filem yang diinspirasikan dari kisah sebenar, Gemencheh Boys di TGV Cinema, Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pekin turut memberitahu dia meletakkan sepenuh jiwa dan fokusnya dalam menjayakan tunjang utama dalam filem ini.

“Selepas Bunohan, saya tak dapat lagi rasa persediaan yang cukup untuk filem seperti filem Bunohan kami ada persediaan yang lama. Jadi selepas Bunohan, saya ada masa persediaan yang lama untuk filem ini.

“Lagipun Cikgu Azman masih ada, kalau salah adaptasi kita, nanti orang mengenalinya cakap tak sama. Sekurang-kurangnya 90 peratus hampir sama dengan watak sebenar,” katanya.

BACA SINI: Perjalanan Budak FELDA ‘Enam Jahanam’ Cipta Sejarah Dunia Kriket Dalam Gemencheh Boys

Dari Felda Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan ke padang kriket dunia. Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa.

Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.

Gemencheh Boys memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket.

Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.

Filem arahan pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017 iaitu pengarah Jason Chong bersama Eric Ong membabitkan studio penerbitan terkemuka, Astro Shaw dengan kerjasama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober.

Filem ini membariskan pelakon hebat Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tunggak utama.

Turut membintangi filem ini Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan ramai lagi.