Pelajar yang didakwa longlai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 seperti yang tular dalam rakaman didapati tidur lewat malam.

Menerusi satu kenyataan media rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memaklumkan bahawa semasa proses vaksinasi, pelajar ini agak gementar namun tiada kesan sampingan sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

Namun begitu selepas selesai sesi pemerhatian dan dalam perjalanan pulang di kawasan parkir kenderaan, remaja ini tiba-tiba lemah dan rebah sehingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Pemeriksaan pegawai perubatan bertugas juga mendapati keadaan remaja ini adalah stabil dengan vital signs (tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darah) adalah normal.

Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja berkenaan menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang.

Panggilan telefon susulan kepada keluarga selepas itu mendapati remaja ini sihat dan aktif seperti biasa.

Bagaimanapun hasil siasatan lanjut mendapati remaja ini telah tidur lewat iaitu pada jam 2 pagi. Selain itu, dia juga tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi tersebut.

Remaja ini tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sebarang sejarah alahan sebelum ini.

Kejadian ini disahkan berlaku disebabkan gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum divaksinasi.

Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah akan terus memantau status kesihatan remaja ini dari semasa ke semasa.

Jabatan Kesihatan Negeri Melaka juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga yang akan membawa anak-anak untuk divaksinasi hendaklah memastikan mereka mendapat rehat yang cukup dan makan sebelum hadir ke PPV.

Terdahulu, rakaman video pendek berdurasi 36 saat tular di media sosial memaparkan seorang remaja berada dalam keadaan lemah dan hampir pengsan sehingga terpaksa dipapah selepas menerima suntikan vaksin.

Dia kemudian dibawa oleh anggota Rela bertugas masuk ke dalam PPV untuk menerima rawatan.