Seorang pelajar dari universi tempatan mencetuskan perdebatan ‘hangat’ dalam kalangan netizen apabila mendakwa dirinya dilarang menduduki peperiksaan kerana belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

Difahamkan, pelajar tersebut terlebih dahulu memaklumkan kepada pihak universiti bahawa dia memilih untuk tidak mahu menerima suntikan vaksin.

Menurutnya, pihak universiti telah mendesaknya untuk mendapatkan vaksin jika mahu menduduki peperiksaan.

Susulan itu, dia yang tidak mempunyai pilihan bersetuju mengambil vaksin jenama tertentu.

Isu kemudian bertambah rumit apabila dia dikatakan tidak menerima sebarang tarikh temu janji untuk mendapatkan vaksin.

Pun begitu, pada tarikh peperiksaan iaitu pada 8 Jun yang lalu dia tetap hadir untuk menduduki peperiksaan berkenaan sebelum pihak universiti dikatakan melarang serta memintanya untuk meninggalkan dewan.

Disebabkan itu, dia terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Pelajar itu turut ditemani Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mendesak agar insiden ini disiasat secara menyeluruh, lapor Malaysia Gazette.

Sementara itu, menerusi tinjauan Gempak di media sosial, reaksi netizen agak bercampur baur.

Ada yang mempertahankan hak pelajar terbabit dan tidak kurang juga yang risaukan keselamatan pelajar lain.

“Ini bukan soal dia seorang, ini soal orang lain”

“Kes tengah tinggi, dah jadi tanggungjawab universiti untuk menjaga keselamatan pelajar”

“Itu hak dia kerana dia berjaga-jaga, mungkin ada alasan tertentu,” kata beberapa netizen.

Sementara itu, Universiti Malaya (UM) dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan pihak pengurusan universiti memandang serius laporan polis yang dibuat pelajar terbabit dan sedang meneliti perkara itu secara lebih terperinci.

Katanya, pihak universiti juga terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak terbabit demi menyelesaikan perkara itu.

Menurut kenyataan itu, menjadi tanggungjawab UM untuk menyediakan kampus yang kondusif dan selamat kepada warga kampus dalam berdepan pandemik ini.

"Komitmen UM dalam memerangi wabak COVID-19 juga dapat dilihat melalui sumbangan pakar perubatan dan saintifik dalam pelbagai aspek.

"Ini termasuk peranan Pusat Perubatan UM sebagai pusat rawatan pesakit COVID-19 dan UM sebagai Pusat Pemberian Vaksin COVID-19," katanya.