BERITA
Pelajar Ditendang, Seluar Dilondeh Oleh Enam Senior
Seorang pelajar di sebuah sekolah di sini cedera selepas dipercayai dipukul, seluar dilondeh dan nyaris dijerut dengan dawai oleh sekumpulan pelajar pada Selasa.
Dakwaan tersebut didedahkan oleh ibu saudara kepada pelajar berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Ibu saudara pelajar berkenaan mendakwa kejadian dikatakan didalangi enam pelajar Tingkatan Empat kira-kira jam 10 pagi sebelum disedari guru yang melalui kawasan berkenaan.
"Anak saudara saya ditendang, ditumbuk, dipukul, ditampar, seluar dilondehkan paras lutut, leher hampir dijerut dengan dawai.
"Jika guru tidak lalu, mungkin anak saudara saya sudah mati di tangan pembuli," tulisnya.
Menurut wanita itu lagi, pada Selasa malam enam keluarga datang rumah ibu bapa untuk minta kes tersebut ditarik.
"Semua pembuli itu baru Tingkatan Empat, namun boleh berfikir dan melakukan sampai tahap ini. Apa akan jadi bila mereka berusia 20 tahun?" katanya.
Sementara itu ibu mangsa semasa dihubungi mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpa anaknya.
Katanya, dia menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berkaitan kejadian terbabit.
Sumber: Sinar Harian