Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pelajar Malaysia Muncul Johan Pertandingan Pidato Umum Antarabangsa English Speaking Union

Azwa Rahman
17/05/2021 06:22 MYT
Penuntut Malaysia Pavit Coran muncul sebagai johan Pertandingan Pidato Umum Antarabangsa English Speaking Union (ESU) pada Jumaat lalu.

Pavit, 19, penuntut Universiti Multimedia kampus Melaka yang mewakili English Speaking Union of Malaysia (ESUM) itu menewaskan 35 lagi peserta dari 33 negara pada acara finale yang diadakan secara maya.

Dalam ucapan selama lima minit itu, anak muda tersebut bercakap tentang peningkatan jumlah mereka yang mengalami kemurungan di seluruh dunia dan menggesa masyarakat serta kerajaan memberi perhatian terhadap isu tersebut.

Pavit yang mahu tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah itu, berkata dia amat gembira, bersyukur dan berasa diberkati kerana tidak percaya dapat mengalahkan begitu ramai peserta serta muncul juara.

“Walaupun saya tidak dapat ke London untuk bertanding, penyertaan secara dalam talian itu memberi pengalaman baharu buat saya selain turut menghadapi masalah seperti sambungan Internet,” katanya kepada Bernama.

Pemuda itu menyifatkan keseluruhan proses sebagai menarik kerana dia dapat bertemu ramai peserta dari negara berbeza tanpa perlu meninggalkan rumahnya serta mendengar pembentangan tema yang sama daripada peserta lain.

Kemenangan ini merupakan kali kedua Malaysia menjuari anugerah Pemidato Terbaik pada kejohanan tahunan itu selepas Marina Tan pada tahun 2011.
#Malaysia #Juara pidato #Pavit Coran
;