Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pelakon Cina, Queenzy Cheng Didakwa Meninggal Dunia Kerana Pengering Rambut

Maliah Surip
01/12/2023 09:16 MYT
Khabar duka datang dari dunia hiburan khususnya masyarakat Cina di Malaysia apabila pelakon dan penyanyi terkenal, Queenzy Cheng meninggal dunia pada usia 37 tahun.

Cheng dilaporkan meninggal dunia pada 28 November lalu selepas 40 minit mengadu kurang selesa, pening kepala dan muntah sebelum pengsan sewaktu menjalani penggambaran untuk saluran media sosial, Squad Sekawan di sebuah lokasi di Damansara.

Berita kematian Cheng diumumkan menerusi platform Facebook dan Instagram rasmi miliknya pada hari yang sama.

Menurut laporan media tempatan termasuk The Star, Cheng meninggal dunia kerana pembuluh darah di kepalanya pecah.

Namun AsiaOne mendakwa memetik daripada laporan China Press yang menemubual doktor, pembuluh darah Cheng pecah dipercayai kerana penggunaan pengering rambut sewaktu bintang itu bersiap untuk penggambaran.

Seorang pelakon lain yang terbabit sama dalam program tersebut, Chai Zi, menceritakan dia berada di lokasi kejadian bersama Cheng sebelum rakannya itu diumumkan meninggal dunia.

Menurut Chai Zi, mereka tiba di Damansara pukul 8 pagi sebelum memulakan penggambaran pada pukul 8.30 pagi.

“Semuanya berjalan lancar, Cheng nampak sihat pada waktu itu,” kata Chai Zi.

Bagaimanapun Cheng mengadu kurang sihat sekitar pukul 10.30 sebelum mereka memulakan penggambaran episod kedua.

Cheng mengadu sakit kepala sebelum menerima rawatan awal daripada kru di lokasi. Pada masa sama, kru kemudian menghubungi ambulans.

Chai Zi mendakwa Cheng masih sedar sewaktu menerima bantuan awal sebelum pengsan.

“Tapi nadinya masih ada. Cuma tangan dan bibir mula bertukar biru,” katanya lagi.

Dan sebalik ambulans tiba lima minit kemudian Cheng diumumkan telah meninggal dunia.

Majlis pengebumian mendiang Cheng yang juga merupakan salah seorang anggota M-Girls akan berlangsung pada 2 Disember di kampung halamannya, Perlis.

#Queenzy Cheng
;