Aktres jelita, Datin Seri Maria Farida, 50, akui terdapat perbezaan antara pelakon ketika di zaman awal kemunculannya dengan pelakon generasi sekarang.

Menurut Maria, pelakon zaman dahulu lebih mengutamakan hasil kerja berbanding populariti.

"Generasi saya dulu berbeza, pelakon-pelakon dulu mengetepikan soal glamor dan tumpukan perhatian pada lakonan semata-mata.

"Sekarang agak berbeza kerana sudah ada media sosial dan ramai yang memandang kepada jumlah pengikut, zaman saya dahulu memang nak belajar dan takut dengan pengarah, kalau buat silap pengarah akan marah.

"Jadi semua pelakon ketika itu harus bersikap profesional, sekarang perkara begitu semakin hilang kerana ramai yang memandang aspek glamour dan populariti di media sosial semata-mata.

Bagaimanapun, Maria menyedari ada beberapa pelakon yang betul-betul berbakat di zaman sekarang.

"Ada juga pelakon yang betul-betul berbakat di zaman ini, cuma, untuk terus bertahan dalam industri, mereka harus serius dan pentingkan disiplin dalam diri mereka," tambahnya.

Sekadar info, Maria dan suaminya, Datuk Seri Rahman Shakur mendirikan rumah tangga pada 26 November 2015.

Maria juga memiliki seorang anak lelaki, Mizan Ashley, 23, hasil daripada perkahwinannya yang terdahulu.